Mantan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad (duduk kanan) dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid (duduk kiri) pada majlis serah tugas Menteri Pembangunan Luar Bandar di Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KLPB), Putrajaya. Foto HAFIZ SOHAIMI,01 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menempah pelbagai kejayaan ketika bekas menterinya, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad menerajuinya sejak 17 bulan lalu.

Menterinya yang baharu, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara kejayaan itu apabila FELCRA Berhad meraih keuntungan interim 1/2021 berjumlah RM135.15 juta bagi tempoh kewangan 1 Januari hingga 30 April 2021.

“Saya difahamkan keuntungan yang dijana itu adalah 146 peratus atau RM80.22 juta lebih tinggi berbanding RM54.93 juta diraih dalam interim qsama tahun lalu,” katanya berucap pada Majlis Serah Tugas Menteri Pembangunan Luar Bandar di KPLW hari ini.

Turut hadir Abdul Latiff yang kini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas).

Hadir sama Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong; Timbalan Menteri I Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad dan Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah.

Mahadzir berkata, walaupun negara mengalami pelbagai kekangan akibat Covid-19 namun KPLB di bawah pimpinan Abdul Latiff berjaya melaksanakan tanggungjawab untuk menjana pendapatan yang optimal kepada masyarakat luar bandar.

“Kini cabaran Datuk Abdul Latif beralih kepada saya, malah kami yakin mampu memberi yang terbaik untuk memastikan agenda pembangunan luar bandar terus dapat dilaksanakan di sebalik krisis yang dihadapi negara ketika ini.

“Antara cabaran utama kerajaan pada masa ini ialah untuk memangkinkan semula kekuatan ekonomi negara, memperkukuh kestabilan politik dan memelihara kesihatan rakyat.

“Pada masa sama, cabaran sedia ada seperti kemiskinan dan peluang pekerjaan yang terhad khususnya di luar bandar masih perlu diberi perhatian,” katanya lagi. – MalaysiaGazette