Mohd Mahidisham

KUALA LUMPUR – Gara-gara percaya kata-kata manis kenalan di media sosial, tiga wanita berstatus ibu tunggal yang kesunyian terjerat dan menjadi mangsa penipuan Parcel Scam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kuala Lumpur, Asisten Komisioner, Mohd Mahidisham Ishak berkata, pihaknya telah menerima tiga laporan pada Isnin dan Rabu minggu ini berkaitan insiden itu.

Katanya, mangsa-mangsa yang terdiri daripada suri rumah, bekas ejen hartanah dan penyambut tetamu di sebuah firma telah berkenalan dengan seorang individu di media sosial yang mendakwa telah menghantar bungkusan dari luar negara.

“Mangsa kemudiannya diminta untuk membayar sejumlah wang bagi tujuan kos penghantaran bungkusan tersebut, namun  bungkusan yang dijanjikan oleh kenalan alam maya tidak diterima.

“Kes melibatkan kerugian berjumlah RM31,500 dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (Tipu),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Mahidisham berkata, bagi tempoh Januari sehingga 31 Ogos lalu  sebanyak 115 kertas siasatan melibatkan kerugian berjumlah RM1,641,359.96 berkenaan penipuan Parcel Scam telah dibuka.

Katanya, sindiket mensasarkan golongan wanita yang bekerjaya dan ‘kesunyian’ sebagai mangsa.

“Pihak Polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan kenalan melalui media sosial.

“Jangan mendedahkan diri anda mudah terpedaya dengan tawaran bungkusan dan melakukan transaksi tanpa usul periksa.

“Sebarang jenayah atau pun aktiviti yang mencurigakan, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584/ 0585 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” tegasnya. – MalaysiaGazette