Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas menyalahkan gabungan parti Perikatan pada tahun awal 50-an kerana menerima konsep jus soli yang disyaratkan oleh penjajah British menyebabkan penyusunan masyarakat Melayu Islam dan bumiputera zaman itu terpinggir.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, Pas yang ketika itu hanya mempunyai satu kerusi dan mendapat sokongan beberapa NGO serta sebahagian ahli UMNO tidak dapat menghalang Tunku Abdul Rahman daripada menerimanya.

“Kita tidak boleh buat apa-apa kerana parti Perikatan yang menguasai majlis dan menerima konsep itu. Akibatnya, penyusunan kawasan majoriti Melayu Islam dan bumiputera paling besar di Malaysia Timur, Pantai Timur Semenanjung dan kawasan utaranya terpinggir daripada kemudahan asas termasuk pendidikan dan pelajaran.

“Selain itu, banyak kawasan petani dan nelayan miskin terbiar. Ini berbeza kawasan paling ramai didiami kaum yang dibawa masuk. Mereka ditempatkan di bandar utama seperti kawasan perindustrian, perdagangan, pelabuhan, ladang dan kebun yang luas sehingga menguasai ekonomi.

“Sedangkan bangsa Melayu dan bumiputera terus ketinggalan dalam semua perkara,” katanya menerusi tulisannya dalam Minda Presiden hari ini.

Konsep jus soli bermaksud hak sama rata iaitu taraf kerakyatan yang diberi berdasarkan tempat kelahiran tanpa mengira bangsa dan keturunan dengan syarat yang longgar.

Pada masa sama, mereka juga memberikan beberapa kelonggaran lain sehingga berlaku kebanjiran kerakyatan kepada golongan pendatang yang tidak boleh berbahasa serta menghormati budaya tempatan.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, masyarakat Melayu Islam yang berpegang pada agama, sesekali tidak mengambil tindakan agresif sehingga kelompok kecil daripada kaum lain walaupun hanya satu keluarga, boleh hidup di tengah majoriti Melayu yang sangat besar.

Kata beliau, kaum lain juga boleh berniaga dengan bebas dan maju dalam keadaan orang Melayu tidak berminat atau tidak mampu berniaga kerana menghadapi saingan dengan mereka yang lebih berpengalaman dan berpersatuan.

“Mereka juga masih bebas menganut agama masing-masing, juga diizinkan membuka sekolah bahasa dan menghidupkan budaya kaum masing-masing. Suatu keadaan yang tidak berlaku di negara lain.

“Maka, tuduhan fanatik perkauman terhadap orang Melayu dan golongan bumiputera adalah tohmahan sangat zalim dan menyentuh sensitiviti masyarakat yang perlu dijaga.

“Apakah penyelesaian kepada isu masyarakat majmuk yang dibentuk masalahnya oleh penjajah ini?,” kata beliau.

Kata Abdul Hadi, mereka membentuk masyarakat majmuk laksana meninggalkan bom jangka yang boleh diletupkan pada bila-bila masa sahaja.

“Bahkan, boleh merosakkan kita semua yang berada dalam satu bahtera Malaysia yang melayari perjalanannya menghadapi gelombang politik dalaman dan antarabangsa.

“Dalam pada itu, kita tidak boleh membuang atau menghapuskan sifat majmuk yang terbentuk sebegini rupa,” katanya.

Katanya, sikap sederhana pada dasarnya telah ditunjukkan oleh Pas sebagai parti berlandaskan Islam mendahului konsep bangsa, bahkan termasuk juga UMNO yang meletakkan asas kebangsaan di hadapan juga tidak melampau kerana masih mempunyai roh Islam.

Begitu juga parti yang paling baharu iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang mempunyai persamaan.

“Jangan mengambil kira tindakan yang sangat terpencil dengan kenyataan lisan dan tulisan sahaja kerana ia tidak akan mampu membakar hangus situasi hubungan antara kaum.

“Sekiranya berlaku ketegangan antara kaum, ia tidak akan melarat sepertimana yang berlaku di negara lain.

“Walaupun terdapat parti perkauman yang ekstrem dengan tuntutan melampau tanpa menghormati hak yang telah diberikan, bahkan ada juga yang membawa ideologi melampau bertapak di sini, tetapi semuanya tidak boleh menguasai keadaan stabil yang wujud,” katanya. – MalaysiaGazette