Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Bangladesh yang diculik oleh rakan senegaranya berjaya diselamatkan polis di sebuab bilik di tingkat atas rumah dalam tempoh 24 jam selepas kehilangannya dilaporkan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya telah menerima laporan daripada seorang lelaki Bangladesh menyatakan pekerjanya telah hilang sejak 27/08/2021 dan dipercayai telah diculik.

Pengadu mendakwa mengetahui perkara ini melalui isteri mangsa yang berada di Bangladesh.

Menurut beliau, mangsa, 39 tahun telah dilarikan oleh dua lelaki Bangladesh ketika berada di kawasan Jelok Ria dan telah menghubungi isteri mangsa yang berada di Bangladesh untuk memasukkan wang tunai 1 Juta taka (anggaran RM50,000) ke akaun bank Bangladesh.

Isteri mangsa yang ketakutan telah melakukan transaksi tersebut ke dalam akaun bank tempatan Bangladesh yang tidak dikenali.

Walaubagaimanapun selepas tiga hari diculik, suspek telah meminta tambahan sebanyak sejuta taka (RM50,000) untuk membebaskan mangsa yang disembunyikan di tempat tidak diberitahu.

Akibat telah kehabisan duit, isteri mangsa telah menghubungi pengadu untuk meminta bantuan.

”Bertindak atas maklumat, dengan tindakan pantas oleh pihak Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kajang telah berjaya menahan dan menangkap empat suspek di hadapan kedai di TTDI Grove Kajang kurang daripada 24 jam selepas aduan dibuat oleh pengadu.

”Hasil pandu arah oleh saspek telah membawa pasukan polis ke kawasan perumahan di Bandar Teknologi Kajang dan menemukan mangsa di dalam sebuah bilik kecil di tingkat atas rumah dalam keadaan lemah dan kedua-dua tangan bergari manakala kedua kakinya dirantai dan dikunci dengan mangga,” katanya dalam kenyataan di sini.

Seorang wanita warga tempatan yang merupakan isteri kepada salah seorang saspek turut ditangkap.

Kesemua suspek yang berusia antara 30 hingga 40 tahun akan dihadapkan ke Mahkamah Kajang bagi tujuan tahanan reman pagi ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 365/384 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan sulit dan salah.
Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai tujuh tahun dan denda manakala Seksyen 384 Kanun Keseksaan adalah kesalahan kerana melakukan pemerasan.

Suspek boleh dihukum penjara selama tempoh boleh sampai 10 tahun, atau denda atau dengan sebat atau dengan kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette