Rodzi Md. Saad

KUALA LUMPUR – Perkembangan yang memberangsangkan apabila hanya dua lokaliti dikenal pasti akan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu mulai 6 hingga 19 September ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, lokaliti itu melibatkan Pusat Latihan Polis (PULAPOL), Kota Kinabalu, Sabah dan dua zon dalam Mukim Kedah di Kota Setar, Kedah.

Katanya, hanya satu lokaliti dilanjutkan tempoh PKPD selama dua minggu hingga 19 September ini ialah Penjara Tapah termasuk kuarters Batang Padang, Perak.

Sementara itu, 23 lokaliti telah ditamatkan PKPD mulai esok, iaitu Kampung Padas, Kampung Cenderamata 2 dan Kampung Cempaka, Kampung Inanam Laut, Kampung Bambangan Inanam, Kampung Kelingau, Kampung Lapasan dan Taman Kuala Menggatal di Kota Kinabalu, Sabah.

Turut ditamatkan ialah Taman Tanjung Indah, Taman Thien Vun, Taman Victoria, Taman King Fook dan Kampung Kurnia Batu 4 di Tawau; Kampung Sulit Paitan dan Kampung Matanggal Lama di Beluran; serta PPR Taman Mesra, Sandakan, Sabah.

Di Pahang melibatkan Kampung Telemin, Mukim Gua, Lipis dan Kampung Orang Asli Sungai Bot, Karak, Bentong.

Kedah pula melibatkan Penjara Pokok Sena termasuk kuarters di Kota Setar, diikuti Pelantar Sungai Pinang Kecil, Pulau Pangkor, Perak.

Manakala Kelantan, kampung yang tamat pelaksanaan PKPD ialah Kampung Telaga Bata, Kampung Kajang Sebidang dan Kampung Bunut Sarang Burung dalam daerah Tumpat. – MalaysiaGazette