Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lebih 17 kawasan penempatan penduduk luar bandar dan sekitar Paya Besar di Pahang kini telah mendapat perkhidmatan jalur lebar yang lebih baik melalui rangkaian 4G.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam kenyataannya berkata, perkhidmatan lebih baik itu dapat dimanfaatkan penduduk berkenaan selepas siapnya sebuah menara baharu dan 19 stesen pemancar yang telah dinaik taraf sehingga 31 Ogos lalu.

Menurut kenyataan itu, antara kampung terlibat ialah Felda Bukit Sagu 1, Felda Bukit Sagu 4, Bukit Gambang Resort City, Felda Lepas Hilir 1, Felda Lepar Hilir 2, Felda Lepar Hilir 3, Felda Panching Timur dan Kolej Matrikulasi Pahang.

Turut terlibat ialah Sungai Semuji, Kampung Semuji, Lebuhraya Pantai Timur (LPT1), Sri Jaya Interchange, kawasan Rehat dan Rawat Gambang, Kampung Gelugor, Kampung Kolek, Kampung Batu 37 dan Kampung Paya Bungor Kiri.

“Keseluruhannya di bawah Pelan Jendela di Paya Besar sebanyak 23 menara baharu akan dibina dan 67 stesen pemancar sedia ada akan dinaik taraf ke rangkaian 4G.

“Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, sebanyak 4,545 premis akan disediakan dengan capaian rangkaian gentian optik.

“Satu tinjauan telah dijalankan pada 2 September lalu bagi memantau perkembangan pelaksanaan projek Jendela,” kata kenyataan itu.

Menurut SKMM, kerja pelaksanaan projek itu dijangka siap secara berperingkat bermula penghujung Disember ini hingga akhir Mac tahun depan.

Katanya, orang ramai digesa memanfaatkan Jendela Map bagi mengetahui status liputan rangkaian perkhidmatan jalur lebar di kawasan tempat tinggal masing-masing.

Selain itu, mereka boleh mengajukan maklum balas atau aduan kepada penyedia perkhidmatan bagi menambah baik kualiti serta liputan perkhidmatan jalur lebar.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dari laman sesawang di pautan https://jendela.my. – MalaysiaGazette