Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR – Pelan Pemerkasaan Undang-Undang Syariah untuk tempoh lima tahun akan dirangka bagi memartabatkan pelaksanaan undang-undang yang berkaitan di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shary berkata, pelaksanaan pelan pemerkasaanan itu adalah untuk tempoh 2020 hingga 2025.

Kata beliau, menerusi pelan itu kerajaan bercadang menggubal 11 undang-undang baharu selain membuat pindaan akta-akta sedia ada dan juga lapan Syariah subsidiari.

“Saya yakin ramai yang mahu bersama memartabatkan Undang-undang Syariah di Malaysia.

“Saya menerima infografik mengenainya sebagai tanda sokongan dan kebersamaan dalam menyampaikan perancangan kerajaan yang mahu meninggikan lagi martabat undang-undang Syariah.

“Jujurnya, saya terharu dan terima kasih saya ucapkan,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Menurut Ahmad Marzuk, penggubalan pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) merupakan sebahagian daripada Pelan Pemerkasaan tersebut.

Kata beliau, selain pindaan kepada Akta 355, rang undang baharu yang bakal digubal melibatkan wakaf, kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam, mufti dan mahkamah syariah. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. rakyat menyokong kebaikan wlpun memahami ada tentangan pelbagai pihak…Moga ALLAH mudahkan urusan perjuang agamanya

Comments are closed.