Caprice. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JUN 2021.

KUALA LUMPUR –  Penyanyi rap, Caprice akhirnya pulang ke Malaysia hari ini selepas lebih dua bulan berada di Mesir bagi melaksanakan misi bantuan kemanusiaan.

Perkembangan itu dikongsikan penyanyi rap berkenaan menerusi saluran Telegram miliknya, MudaUmmah: Welcome To Caprice’s Personal Telegram, tengah malam tadi.

“Salam Malaysia! Alhamdulillah setelah dua bulan setengah, mungkin pengembaraan paling gila sejauh ini, akhirnya saya akan pulang ke Malaysia esok (hari ini).

“Saya minta maaf atas kelewatan, saya memerlukan sedikit masa untuk menyelesaikan bahagian tertentu dalam misi saya,” katanya.

Pemilik nama sebenar Ariz Ramli, 33, itu bagaimanapun tidak mendedahkan butiran lanjut mengenai penerbangan mahu pun ketibaannya nanti.

Dia sebaliknya hanya memaklumkan berkenaan kiriman barang-barang tempahan orang ramai.

Jelasnya, sebaik tiba di tanah air dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 termasuk kuarantin, barulah dia akan meneruskan aktiviti perniagaan yang lama tertangguh.

Caprice menjangka bakal menjalani kuarantin selama 10 hari, sekali gus urusan penghantaran tempahan barangan seperti jaket hoodies, tasbih dan buah tangan hanya dapat dilakukan selepas 18 September ini.

“Hoodies Koyak Ke Bro Edisi Terhad hampir siap, tetapi malangnya saya sekarang mengendalikannya sendiri kerana kakitangan lama yang mengambil pesanan dan penghantaran tidak lagi dengan saya,” kongsinya lagi.

Sementara itu, penceramah bebas merangkap usahawan itu turut memohon maaf berikutan kelewatan urusan berkenaan disebabkan agak lama meninggalkan perniagaannya.

Sebelum ini, dia pernah mendedahkan sepatutnya pulang ke Malaysia pada 4 Julai lalu, tetapi terpaksa ditangguhkan atas faktor keselamatan.

Penyanyi rap yang juga aktivis kemanusiaan itu tiba di Mesir pada 24 Jun bagi menyertai misi bantuan ke Gaza sebelum meneruskan penggembaraan solo ke Jordan kerana isu yang tidak dijelaskan secara terperinci.

Biarpun tidak dapat memasuki Palestin, Caprice tetap enggan pulang ke Malaysia malah meneruskan pelbagai aktiviti meluaskan jaringan kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaaan di Mesir dan Jordan sepanjang bergerak solo.

Selain soal birokrasi dan kegagalan memasuki Palestin, nama Caprie turut pans apabila diminta memberi keterangan kepada polis berhubung isu fitnah dan kes gangguan seksual melibatkan penceramah terkenal, Ebit Lew. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast