Thomas Trucha

KUALA LUMPUR – Perebutan Naib Juara Liga Super semakin sengit dengan kebangkitan  Penang FC selepas meraih kemenangan ketiga berturut-turut menewaskan Sri Pahang FC semalam.

Dengan tiga mata yang telah diraih skuad kendalian Thomas Trucha meletakkan mereka kini pada tangga kedua liga meninggalkan Kedah Darul Aman FC di tempat ketiga dan Terengganu FC di kedudukan keempat.

Menurut pengendali berusia 50 tahun ini, pasukannya bernasib baik atas kemenangan 2-1 ke atas Sri Pahang kerana anak buah Dollah Salleh beraksi cemerlang untuk mengawal permainan.

Justeru, peluang untuk merebut kedudukan terbaik masih lagi terbuka meskipun perlawanan terakhir menentang Terengganu FC pada Ahad ini bukan mudah biarpun skuad kendalian Nafuzi Zain itu mengalami tiga kekalahan sebelum ini.

“Perasaan saya sekarang bercampur baur kerana saya rasa pemain-pemain boleh melakukan aksi yang lebih baik dan sepanjang permainan semalam, kami bernasib baik sahaja sebab Pahang memang bermain dengan cukup cemerlang.

“Untuk saya, perlawanan pada Ahad ini memang seperti final dan peluang boleh katakan 50-50 kerana Terengganu FC memang pasukan yang hebat, mempunyai jurulatih tempatan yang bagus, dan ia akan menjadi perlawanan yang cukup sengit nanti untuk merebut tiga mata.

“Bagi saya, Penang telah melakukan tugas yang cemerlang di Liga Premier musim lepas bersama jurulatih Manzoor Azwira dan saya pula datang ke sini bukan nak buat revolusi sendiri, tetapi hanya menyambung apa yang mereka telah lakukan, dan kita sama-sama dapat menstabilkan pasukan di mana perancangan kami menjadi musim ini, dan itulah yang kami inginkan”, jelasnya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih Sri Pahang FC, Dollah Salleh pula menegaskan, mahu atau tidak, pasukan wajib menang dalam aksi terakhir menentang UiTM FC selepas kemarau kemenangan dalam lima aksi terdahulu.

Walaupun Sri Pahang telah mengesahkan tempat untuk kekal di pentas Liga Super musim depan, beliau tetap merasakan mereka tidak boleh lagi melakukan kesilapan sama apabila gagal memanfaatkan peluang apatah lagi pasukan ketika ini sudah lengkap dengan kesebelasan terbaik berbanding aksi-aksi sebelum ini.

“Kita sudah dapat kesebelasan pemain yang terbaik dan mereka telah mempamerkan persembahan yang saya inginkan cuma kita banyak terlepas peluang dan apabila pihak lawan menjaringkan gol, itu yang membuatkan pemain-pemain nampak hampa.

“SIkap sebegitu yang saya tidak mahu kerana sepatutnya walaupun masa ada lagi 10 minit, kita sepatutnya kena bangkit untuk lawan tetapi sayang keputusan tidak menyebelahi.

“Untuk lawan UiTM FC, saya akan gunakan juga kesebelasan utama yang terbaik kerana macam yang saya cakap, kita dah lama tidak meraih kemenangan, jadi perlawanan terakhir ini kita gunakan apa sahaja yang terbaik untuk dapatkan balik rentak yang kita inginkan,” katanya.

Kekalahan semalam menyaksikan Sri Pahang kini di tangga ke 10 Liga Super dengan 18 mata manakala Penang FC terus mendaki ke kedudukan kedua.

Kedah pula masih ada dua perlawanan termasuk aksi tertunda pada Rabu ini untuk mereka kembali merampas tempat kedua liga sekaligus meraih slot ke Piala AFC 2022. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast