Aste dari TLDM dan TLDA menjalani latihan selama tiga hari berakhir semalam.

KUALA LUMPUR – Pandemik Covid-19 yang menyelubungi dunia tidak menghalang Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menjalani latihan dengan Tentera Laut Diraja Australia (TLDA).

Kedua-dua armada melangsungkan semangat kerjasama dan diplomasi pertahanan yang sedia utuh terjalin menerusi pelaksanaan Eksesais Malaysia-Australia Sea Training Exercise (MASTEX) 2021 di sekitar perairan Selat Melaka.

Menurut kenyataan dari Bahagian Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat, eksesais bilateral tahunan berkonsepkan Field Training Exercise (FTX) itu berlangsung selama tiga hari berakhir semalam.

Katanya, eksesais yang telah wujud sejak tahun 2002 itu bertujuan memperkukuhkan kerjasama strategik pertahanan maritim melalui kaedah perkongsian idea dan kepakaran di lapangan.

“Mendepani pandemik, kedua-dua angkatan laut terus mempamerkan komitmen menerusi penglibatan tiga aset TLDM iaitu KD Lekiu, KD Jebat serta helikopter Super LYNX.

“TLDA pula mempamerkan empat asetnya iaitu HMAS Canberra, HMAS Anzac serta helikopter CH47 dan MH-60S dari Australian Maritime Task Group.

“Turut serta menjayakan eksesais adalah masing-masing dua pesawat F/A 18D dan pesawat HAWK TUDM,” kata kenyataan itu, semalam.

Sepanjang MASTEX, beberapa siri latihan telah direalisasikan meliputi peperangan anti-serangan udara, anti-kapal selam, penembakan sasaran permukaan, manuvra taktikal dan pengoperasian bot.

Kelangsungan latihan yang lancar tanpa sebarang insiden jelas menggambarkan sikap profesionalisme, keupayaan dan ketersediaan warga kedua-dua angkatan laut.

Keseluruhan eksesais kali ini berjaya memenuhi matlamat dan objektif yang telah ditetapkan.

Kata kenyataan itu lagi, TLDM akan terus komited memanfaatkan setiap peluang beroperasi bersama angkatan laut sahabat dalam memacu ketersediaan warga untuk melindungi serta mempertahankan kepentingan maritim negara pada sebilang masa. – MalaysiaGazette