Ahmad Yakub

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub akan mengadakan perjumpaan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi membincangkan soal pembangunan di negeri itu.

Perjumpaan yang akan diadakan dalam masa terdekat ini lebih berkisar kepada projek jambatan Palekbang – Kota Bharu yang terbengkalai sejak sekian lama.

“Saya mahu memastikan pembangunan di Kelantan yang dirancang sebelum ini diteruskan dengan lancar.

“Oleh itu, penting saya bertemu dengan Perdana Menteri dalam masa terdekat ini untuk berbincang termasuk rancangan kita meneruskan projek pembinaan jambatan Palekbang di Tumpat,” katanya di Kota Bharu, semalam.

Menurut Ahmad, beliau akan melakukan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri bagi membincangkan isu berkaitan pembangunan di negeri itu.

Katanya, beliau sudah mengajukan hasrat perjumpaan itu melalui sepucuk surat yang dihantar ke Pejabat Perdana Menteri minggu lepas.

“Buat masa ini kita sedang menunggu maklum balas berhubung dari Pejabat Perdana Menteri,” katanya.

Tahun lepas kerajaan Pusat mengumumkan pembangunan di lima koridor wilayah pembangunan ekonomi akan diteruskan dengan peruntukan RM780 juta termasuk pembinaan jambatan Palekbang ke Kota Bharu.

Projek itu melibatkan kos kira-kira RM250 juta dan akan dibina dengan jarak satu kilometer bermula dari Palekbang, Tumpat merentasi Sungai Kelantan ke Penambang, Kota Bharu.

Malah, Pengurus Besar Pelaksanaan Projek, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC), Arizan Arifin dilapor berkata, projek pembinaan jambatan itu dijangka bermula Julai lalu. – MalaysiaGazette