Industri Latihan Pemanduan (ILP) Kenderaan Motor di seluruh negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu mulai 9 September ini.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Industri Latihan Pemanduan (ILP) Kenderaan Motor di seluruh negara dibenarkan beroperasi dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) secara janji temu mulai 9 September ini.

Walaupun Institut Memandu (IM) boleh mula beroperasi mulai tarikh itu, proses pengujian bagi mendapatkan lesen-lesen memandu berkaitan hanya akan bermula pada 17 September 2021.

Tempoh masa itu diperuntuk kepada pihak IM dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk bersedia sepenuhnya bagi mengelakkan isu-isu berbangkit yang boleh memberi kesan negatif kepada calon.

”Memahami dan prihatin dengan kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh pengendali IM akibat pandemik Covid-19, MOT memutuskan pemberian moratorium selama tiga bulan iaitu sehingga 30 November 2021 bagi keperluan pembaharuan permit IM bagi mana-mana yang tempoh sah laku permitnya telah tamat di antara bulan Januari hingga September 2021.

“Diharapkan dengan pengoperasian semula ILP ini dapat memberi kelegaan kepada pengusaha-pengusaha ILP atau IM, tenaga pengajar dan orang ramai yang memerlukan perkhidmatan berkaitan,” kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebenaran yang telah mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) ini tertakluk kepada pematuhan perkara-perkara seperti berikut:

I) Pematuhan sepenuhnya ke atas Prosedur Operasi Standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Berfasa yang berkuatkuasa.

II) Pekerja, tenaga pengajar dan calon telah lengkap menerima vaksin dengan mengemukakan Sijil Digital Vaksinasi COVID-19 dan kad pengenalan sebagai pembuktian.

III) Syarikat hanya dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pekerja berdasarkan peratusan (%) pekerja yang telah lengkap menerima vaksin.

Sekiranya kadar peratusan pekerja yang lengkap menerima vaksin adalah 40%, maka kapasiti pekerja yang dibenarkan beroperasi adalah sebanyak 60%.

Jika 60% lengkap menerima vaksin, 80% pekerja dibenar beroperasi. Syarikat dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100% sekiranya 80% pekerja lengkap menerima vaksin.

IV) Kehadiran mana-mana kakitangan/calon yang bergejala, sedang dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), ‘Person Under Surveillance’ (PUS) dan sedang dalam Perintah Kuarantin adalah tidak dibenarkan.

V) Mematuhi protokol kesihatan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelaksanaan norma baharu seperti pemeriksaan suhu badan, mengimbas MySejahtera, mengamalkan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup separuh muka dan penyediaan hand sanitizer.

MOT mengingatkan sebarang ketidakpatuhan SOP yang ditetapkan boleh diambil tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). – MalaysiaGazette