Gambar hiasan

MELAKA – Seorang bekas Penolong Pegawai Tadbir Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) direman lima hari bermula hari ini selepas dipercayai menyeleweng kutipan bayaran lebihan gaji guru kontrak jabatan itu yang bernilai lebih RM195,000, empat tahun lepas.

Perintah reman terhadap lelaki berusia 36 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, lelaki itu yang kini bertugas di sebuah kolej matrikulasi di Johor, tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Ayer Keroh kira-kira 8.35 pagi tadi dengan memakai pakaian lokap SPRM berwarna jingga.

Difahamkan lelaki berkenaan semasa bertugas sebagai Penolong Pegawai Tadbir di Pejabat Pengurusan dan Sumber Manusia JAIM telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butir matan palsu bayaran balik emolumen terlebih bayar berjumlah RM195,765.75.

Bayaran lebihan gaji itu sepatutnya diserahkan kepada bahagian kewangan namun lelaki itu yang ditugaskan menguruskan hal berkenaan gagal berbuat demikian.

Jika sabit kesalahan, lelaki berkenaan boleh didenda lima kali nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Sementara itu, Pengarah SPRM Melaka Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan lelaki itu dan siasatan lanjut mengenai kes berkenaan sedang dijalankan.

— BERNAMA