Danial Hakeem Azman

KUALA LUMPUR – Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK) mendedahkan penindasan terhadap pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan sekolah serta hospital berpunca daripada sistem perolehan tender yang tidak telus.

Menurut Kordinator Nasional JPKK, Danial Hakeem Azman, tender berkenaan telah dimanipulasi dan dibolot sepenuhnya oleh pihak berkepentingan.

Kata beliau, penswastaan perkhidmatan pembersihan dan keselamatan bangunan kerajaan yang dilaksanakan kerajaan telah mengubah status pekerja dari tetap kepada kontrak.

“Sejak itu, hak mereka telah hilang satu per satu kerana tidak lagi dianggap pekerja tetap dan kelas kontraktor melanggar atau tidak mematuhi Akta Kerja 1955.

“Walaupun pekerja melawan dengan menyalurkan aduan ke Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), tetapi majikan selalu terlepas dari tindakan undang-undang.

“Sebaliknya, pekerja yang dimangsakan dengan diberhentikan kerja atau dipindahkan ke tempat yang jauh oleh majikan terbabit,” katanya pada sidang media secara atas talian, hari ini.

Menurut Danial Hakeem lagi, pihaknya mengesan wujud permohonan tender oleh pihak tertentu menggunakan syarikat palsu yang bertujuan untuk mempengaruhi keputusan perolehan.

Ketidaktelusan itu digunakan untuk kepentingan kroni, selain mereka menggunakan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 bagi merahsiakan sebab pemilihan kontraktor.

Katanya, tanpa akauntabiliti hak pekerja senang dicabuli dan kontrak yang bermasalah akan mendapat tender berulang kali, walaupun mempunyai banyak rekod salah laku.

“Salah satu contoh, projek kartel kerajaan, di mana tujuh pegawai kerajaan membolot tender bernilai RM3.8 bilion melibatkan ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan sejak tujuh tahun lalu.

“Penahanan mereka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada April lalu melumpuhkan sindiket monopoli 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dan dipercayai beroperasi sejak tahun 2014 lagi,” katanya.

Menurut beliau, jumlah itu yang sepatutnya dinikmati pekerja bawahan, sebaliknya dibolot oleh segelintir pihak.

Ini katanya, umpama pekerja yang jana keuntungan melalui kerja kontrak hanya mendapat secubit upah untuk hidup.

“Gaji pekerja pembersihan hospital pada tahun 2017 hanya RM1,000 sebulan, tetapi gaji bekas pengarah eksekutif sebuah syarikat berpendapatan RM167,000 sebulan.

Begitu juga dengan sektor keselamatan sekolah yang melibatkan kira-kira 40,000 pengawal keselamatan di seluruh negara.

Kerajaan mengeluarkan tender berjumlah RM1.5 bilion pada 2019, tetapi RM500 juta ditelan oleh pihak kontraktor.

“Kita mahu kerajaan hentikan penghambaan zaman moden ini. Ini masa untuk kerajaan bangkit tanpa kontraktor, kerajaan boleh menyalurkan dana terus kepada pekerja dan menaikkan gaji pokok mereka kepada RM1,800.

“Dana ini juga boleh membuka peluang pekerjaan kepada kira-kira 20,000 pekerja baru yang akan meringankan beban kerja sedia ada, malah kerajaan boleh jimat RM200 juta setahun yang boleh diperuntukan untuk pencen dan lain-lain faedah. – MalaysiaGazette