KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari diberitahu kenapa bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak boleh dipersalahkan untuk tuduhan pecah amanah RM10 juta milik dana Yayasan Akalbudi.

Ini kerana menurut peguam mewakili tertuduh, Hamidi Mohd. Noh, wang RM10 juta itu sebenarnya adalah pinjaman pelaburan kepada Armada Holdings Sdn Bhd bagi syarikat itu mendapat tender daripada TNB Fuel Services Sdn. Bhd.

TNB Fuel ialah syarikat yang menjadi pembekal arang batu dari Indonesia.

Hamidi berkata, hakikatnya Yayasan Akalbudi tidak pernah mengalami kerugian sebaliknya wang pinjaman sebanyak RM10 juta bersama-sama faedah bernilai RM70,000 juga telah dipulangkan kembali dalam bentuk dua keping cek.

Perkara tersebut telah didedahkan sendiri oleh saksi pendakwaan ke-21, Ketua Pegawai Eksekutif, Armada Holdings, Datuk Wasi Khan @ Wasiyu Zama Israr Ahmad ketika pemeriksaan balas dalam perbicaraan sebelum ini.

“Dalam keterangan sebelum ini, Datuk Wasi mendakwa syarikatnya memerlukan modal berbayar sebanyak RM10 juta bagi memenuhi syarat minimum mendaftar kepada TNB Fuel.

“Namun pada masa sama Armada Holdings tidak mempunyai modal sebanyak itu sehingga terpaksa meminjam daripada beberapa kenalan.

Antara kenalan itu termasuklah Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

“Beliau lebih dikenali sebagai Datuk K yang kemudian mengatur pertemuan mereka dengan Ahmad Zahid.

“Tetapi pendakwaan tidak pula memanggil Datuk K untuk memberi keterangan walaupun beliau telah bertemu dengan Datuk Wasi beberapa kali untuk modal RM10 juta tersebut,” hujahnya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Colling Lawrence Sequerah.

Sambung Hamidi, Ahmad Zahid tidak boleh dipersalahkan atau dituduh atas dakwaan pecah amanah memandangkan kerana pemegang amanah Yayasan Akalbudi sedia maklum tentang sumbangan tersebut.

Pemegang amanah ini juga tidak pernah mengemukakan bantahan berhubung pengeluaran wang daripada akaun yayasan.

Hamidi turut mengaitkan dengan tuduhan pecah amanah wang Yayasan Akalbudi RM1.3 juta yang disumbangkan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

“Itu sumbangan untuk membayar gaji pemain bola sepak yang tertunggak dan urusan pentadbiran persatuan.

“Sepatutnya anak guam kami dilepas dan dibebaskan daripada semua tuduhan tanpa perlu membela diri kerana pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau,” tegasnya.

Ahmad Zahid itu didakwa menggunakan dana tersebut untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Prosiding akan bersambung esok. 

Mahkamah mendengar penghujahan pembelaan pada akhir kes pendakwaan terhadap Ahmad Zahid yang menghadapi 47 pertuduhan iaitu 27 pertuduhan pengubahan wang haram, 12 pecah amanah dan lapan rasuah melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi. – MalaysiaGazette