Antara pendatang asing tanpa izin yang ditahan menerusi Op Benteng

KUALA LUMPUR – Seramai 15,754 pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditahan menerusi Operasi Benteng hasil kerjasama bersepadu antara 19 agensi di bawah Pasukan Petugas Khas (NTF) sejak Mei 2020 sehingga Selasa lalu, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan itu, seramai 2,232 PATI juga telah diusir dalam tempoh masa yang sama.

“Selain PATI, seramai 1,148 orang tekong dan 781 orang penyeludup turut berjaya ditangkap.

“Daripada sudut rampasan pula, saya dimaklumkan bahawa sebanyak 2,381 buah kenderaan darat dan 540 buah kapal/bot berjaya dirampas,” katanya menerusi satu kenyataan di laman Facebook hari ini.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, selari dengan matlamat utama pelaksanaan Op Benteng, Angkatan Tentera Malaysia akan terus berusaha sedaya upaya dan kekal bekerjasama rapat dengan kesemua 19 agensi yang terlibat.

“Ia demi mengawal ketat sempadan negara daripada kemasukan PATI di samping mengekang penularan wabak Covid-19 yang mungkin dibawa oleh PATI berkenaan,” katanya. – MalaysiaGazette