Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menunjukkan sebahagian barang rampasan sindiket penipuan pembelian pakej talian dan telefon bimbit di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU – Polis Johor menumpaskan sindiket penipuan pembelian pakej talian dan telefon bimbit dengan penahanan 14 individu di sekitar Iskandar Puteri dalam serbuan yang dilakukan pada 1 September lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata,  modus operandi sindikit berkenaan adalah dengan menggunakan nama pemilik akaun keldai bagi mendaftarkan talian syarikat telekomunikasi (telco).

“Sindiket ini dipercayai telah beroperasi sejak awal Januari lalu menggunakan dokumen palsu seperti penyata gaji dan surat pengesahan majikan yang mana dikeluarkan oleh sindiket yang sama dalam mengaburi pihak telco yang disasarkan.

“Selepas itu, pendaftaran dan identiti pemilik akaun keldai disahkan pihak telco, manakala sindiket akan membuat pembayaran dengan menggunakan kad kredit milik individu lain, seterusnya telefon dan pakej yang didaftarkan diserahkan kepada ahli sindiket,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK), di sini, hari ini.

Kata Ayob Khan, bagi setiap transaksi yang berjaya dilakukan, pemilik akaun keldai akan menerima komisyen sebanyak RM350.

Sementara, ejen yang berjaya mendapatkan khidmat pemilik akaun keldai itu akan menerima bayaran RM150.

“Telco mula menyedari bahawa mereka menjadi mangsa penipuan selepas usaha pembayaran melalui kad kredit yang didaftarkan sewaktu pembelian pakej ditolak oleh bank,” katanya. -MalaysiaGazette