Zureen Mohamad mengajar zumba bagi menggalakan muslimah mendapatkan tubuh yang sihat untuk memudahkan melakukan ibadat di Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Tubuh badan ideal bukan sahaja untuk mengekalkan kesihatan namun ia juga memudahkan urusan ibadah kepada seseorang orang Islam.

Itu menjadi pegangan seorang guru Bahasa Inggeris dan mengalakkan muslimah bersama-sama menjaga kesihatan tubuh badan.

Pemilik Heart Beat Studio, Zureen Mohamad berkata, minat mendalam merupakan faktor utamanya menceburi dunia senaman sejak 17 tahun lalu selepas melahirkan anak sulung.

Tambahnya, usahanya mengajar senaman juga bagi mengubah stigma masyarakat terhadap dunia zumba dengan mempamerkan imej yang lebih sopan dan menutup aurat.

Wanita yang berusia 39 tahun dan mempunyai tiga cahaya mata itu juga berkerjaya tetap sebagai seorang guru di sebuah sekolah di sini sentiasa mencari masa untuk mengajar zumba kepada kaum Hawa yang berminat.

Malah dalam aspek zumba, Zureen sentiasa memilih tema berlainan bagi memupuk minat pelajarnya melakukan senaman.

“Saya bergiat aktif dalam dunia senaman sejak 17 tahun lalu selepas melahirkan anak pertama, alasan utama ketika itu adalah berat badan naik selepas melahirkan anak sulung,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Setelah bergiat aktif, kecintaan dalam bidang kecergasan semakin mendalam sehingga mencuba pelbagai jenis aktiviti termasuk gym, yoga, pilates, aerobik, kickboxing, stepboard, bellydance dan akhirnya jatuh cinta dengan zumba.

“Selepas bertahun menjadi pelajar, terbuka hati untuk memberanikan diri menjadi mengambil lesen mengajar zumba.

“Zumba selalu dikaitkan dengan imej yang tidak sesuai di mata masyarakat jadi rasa sedikit terpanggil untuk mengubah stigma masyarakat terhadap dengan mempamerkan imej yang lebih sopan dan bertutup,” katanya.

Tambahan pula, sebagai ibu, isteri, guru dan muslimah, adalah satu tanggungjawab yang besar untuk membawa imej sopan.

“Zumba digemari lapisan masyarakat kerana muziknya yang catchy, fesyen yang pelbagai dan menarik serta pengerakan yang mudah namun berkesan untuk membakar kalori.

“Secara peribadi saya lebih suka zumba kerana ia diajar di tempat tertutup seperti studio dan berasingan jantina kerana pergerakan zumba yang pelbagai termasuklah pergerakan yang agak seksi,” katanya.

Selain mengajar zumba, Zureen juga berkongsi info pemakanan dan cara hidup sihat kerana zumba ibarat  masa khusus buat pelajar yang terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk pengisian pada musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Suka  mengumpul segala item berkaitan dunia senaman termasuklah alat senaman, kasut dan outfit yang bersesuaian dengan imej muslimah.

“Setiap kali PKP, saya akan mengendalikan kelas secara virtual menggunakan aplikasi zin studio di mana kelas secara virtual membantu para ibu mengurangkan tekanan memandangkan ramai yang bekerja dari rumah,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast