Foto Instagram Eina Azman.

KUALA LUMPUR – Pelakon Datin Eina Azman dan suaminya, Datuk Kaiser Gurmeet Abdullah yang dimasukkan ke sebuah pusat perubatan berikutan kekurangan oksigen dalam badan selepas 12 hari positif Covid-19 sudah dibenarkan pulang ke rumah semalam.

Eina berkata, sepanjang tempoh berkenaan perkara yang paling ditakuti apabila keadaan suaminya yang disahkan berada pada tahap empat sehingga memerlukan bantuan alat pernafasan.

“Syukur selepas 12 hari mendebarkan buat saya dana keluarga bila memikirkan suami yang kena tahap empat dan paru-paru yang sudah merebak 30 peratus oksigen turun naik.

“Doktor pun ada bagitau jika dalam dua,tiga hari tak okey suami kena masuk ke Unit Rawatan Rapi (ICU). Kalau boleh saya memang tak mahu suami masuk situ.

“Saya tak tahu macam mana nak cakap perasaan pada waktu itu. Hanya Allah saja yang tahu saya tak senang duduk memikirkan apa patut saya buat.

“Saya juga sudah cuba bermacam ikhtiar, cara untuk sembuhkan suami saya. Dan sekarang suami saya sudah pulang ke rumah. Ini semua mungkin berkat doa anda semua yang dimakbulkan Allah,” katanya menerusi hantaran Instagram.

Pada 31 Ogos lalu, serentak dengan sambutan ulangtahun ke tujuh perkahwinan mereka, ibu kepada sepasang kembar itu memaklumkan dia dan suami bersama dua pembantu rumah mereka disahkan positif.

Anak mereka, Arianna Aubrey dan Karl Kareef yang berusia lima tahun serta kakak aktres terbabit, Wenny Azman pula disahkan bebas wabak berkenaan.

Begitupun, sehari kemudian Eina atau nama sebenarnya, Ainur Syakina Azman, 26, mendedahkan suaminya terpaksa dimasukkan ke hospital selepas mengalami masalah pernafasan.

Pada perkongsian sama dia turut menzahirkan rasa terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan mereka sekeluarga berdepan serangan virus berbahaya itu.

“Di sini saya ingin mengucapkan terima kasih kepada keluarga, kawan dan pengikut Instagram saya yang tidak putus mendoakan serta berkongsi tips untuk sembuhkan suami saya.

“Saya tidak mampu membalas semua mesej di WhatsApp dan hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan doa yang baik-baik kepada kami dan pembantu kami,” luahnya lagi.

Menerusi perkongsian di Insta Story pula, Eina kelihatan memeluk anak-anak yang menangis disebabkan terlalu rindukan mereka sebaik tempoh kuarantin berakhir. – MalaysiaGazette