KPDNHEP memberi jaminan bekalan kit ujian Covid-19 di pasaran mencukupi. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tahap pematuhan Perintah Kawalan Harga (Penentuan Harga Maksimum) bagi Harga Maksimum Borong dan Runcit bagi kit ujian pantas antigen Covid-19 (ujian sendiri) adalah baik.

Pengarah Penguatkuasa Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Azman Adam berkata, sehingga 9 September 2021 sebanyak 703 pemeriksaan iaitu 46 premis borong dan 657 premis runcit telah dijalankan meliputi premis berkaitan seperti farmasi dan fasiliti kesihatan di seluruh negara.

Secara keseluruhannya, sejumlah 606 (86.20%) premis patuh dan 36 (5.12%) premis jual di bawah paras harga maksimum ditetapkan.

Walau bagaimanapun, terdapat 28 (3.98%) premis yang masih gagal membuat persediaan mematuhi perintah harga maksimum yang diumumkan.

Pemeriksaan turut mengenal pasti 33 (4.69%) premis sahaja yang tidak menjual kit ujian pantas antigen Covid-19 dan situasi ini tidak menjejaskan prestasi keberadaan bekalan kit ujian pantas antigen Covid-19 kerana secara keseluruhannya bekalan di seluruh negara adalah stabil dan mencukupi.

”Bagi pemeriksaan di peringkat awal ini dan seiring dengan kelaziman pelaksanaan kawalan harga, KPDNHEP telah membenarkan tempoh selama tujuh hari bermula 5 September 2021 bagi tarikh mula kuat kuasa harga maksimum kit ujian pantas antigen Covid-19 untuk memberi kelonggaran kepada peniaga membuat penyelarasan harga jual.

”Pada masa yang sama, peniaga turut diberi peringatan bahawa selepas tamat tempoh kelonggaran, tindakan tegas akan dilaksanakan ke atas peniaga sekiranya gagal mematuhi peruntukan di bawah AKHAP 2011,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sebagai maklumat kepenggunaan, KPDNHEP juga menyarankan para pengguna membuat pembelian alat peranti kesihatan di pasaran dengan membuat rujukan di laman sesawang rasmi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan / Malaysia Device Authority(MDA) di pautan berikut:
https://mdar.mda.gov.my/frontend/web/index.php?r=carian%2Findex&CompletedApplicationAllmdrSearch%5BglobalSearch%5D=Pulse+oximeter
https://portal.mda.gov.my/ untuk menyemak senarai syarikat dan jenama yang diselia oleh pihak MDA bagi mengedar dan menjual alat peranti
kesihatan untuk kegunaan awam.

KPDNHEP menegaskan akan memberi perhatian serius kepada perlakuan peniaga supaya mematuhi sepenuhnya peruntukan di bawah Perintah Kawalan Harga (Penentuan Harga Maksimum) (NO.7) 2021 bagi kit ujian pantas antigen COVID-19.

Pendekatan pemeriksaan yang lebih tegas akan dilaksanakan oleh KPDNHEP dengan mengambil tindakan kes di bawah peruntukan Seksyen 11, Akta
Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000 dan syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast