Gunners akhirnya menemui rentak kemenangan menentang Norwich City selepas kalah dalam tiga perlawananpertama EPL musim ini.Foto Kredit Arsenal FC via Getty Images.

LONDON – Selepas kekalahan tiga perlawanan pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini, Arsenal akhinya menamatkan badi gol dengan merekodkan kemenangan pertama musim ini.

Dalam aksi di Emirates malam tadi, the Gunners menewaskan Norwich City dengan gol tunggal menerusi Pierre-Emerick Aubameyang.

Aubameyang menjadi penyelamat kedudukan Mikel Arteta untuk pengurus itu terus mengemudi pasukan berkenaan selepas menerima kecaman teruk dari peminatnya supaya dipecat.

Namun, pengesahan gol itu menyebabkan penyokong dan juga skuad the Gunners terpaksa berpeluh menanti keputusan selepas pengadil perlawanan Michael Oliver memeriksa sistem video penolong pengadil (VAR) di tepi padang.

Dalam tiga perlawanan awal musim ini, Arsenal telah dibolos sembilan gol dan kalah dalam ketiga-tiga perlawanan itu tanpa sebarang gol.

Kunjungan ke Burnley Sabtu depan juga bakal menjadi satu lagi ujian asid untuk Arsenal yang wajib menang tiga mata penuh untuk menyelamatkan kedudukannya dalam liga.

Arteta merayu semua pihak termasuk penyokong sabar dan tenang menerima proses pembangunan pasukan itu walaupun pasukannya telah gagal dalam tiga perlawanan pertama tanpa sebarang mata dan gol.

“Kami dalam usaha sedang membangunkan projek jangka panjang sebuah pasukan yang kuat untuk masa depan gemilang dan sudah pasti kita tidak boleh harapkan keputusan segera.

“Yang penting akhirnya kami rekodkan kemenangan yang dinantikan dan berjaya keluar dari zon penyingkiran dan menduduki tempat 16 dalam carta.

“Kita akan terus progress dan memberikan yang terbaik seperti diharapkan penyokong kelab, cuma saya mahu mereka terus beri keyakinan dan bersabar,” katanya.- Agensi