Sebanyak 3,701 kes sembuh Covid-19 telah dilaporkan di dalam negara dalam masa 24 jam  lalu.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Hari ini sebanyak 32 lagi kluster baharu Covid-19 telah dikenalpasti setakat 12 tengahari tadi oleh Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada angka tersebut, sebanyak 16 kes adalah kategori tempat kerja membabitkan 531 kes.

Bagaimanapun kluster kategori komuniti kali ini menunjukkan peningkatan ketara apabila merekodkan 14 kluster  dengan 412 kes positif dikesan disusuli masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi (35 kes) dan pendidikan tinggi (23 kes).

Menurutnya, setakat ini sebanyak 1,444 kluster Covid-19 dilaporkan masih aktif sementara 3,709 lagi telah tamat.

“Daripada 16 kluster kategori tempat kerja, lapan telah dilaporkan di enam daerah di Johor iaitu masing-masing dua di Muar dan Tangkak, masing-masing satu kes di Johor Bahru, Kluang, Kulai dan Batu Pahat.

“Manakala dua lagi kluster kerja dikesan di Kulim dan Kota Setar serta Pendang di Kedah.

“Tiga lagi kluster kerja dikenalpasti di daerah Kinta, Perak, tiga lagi masing-masing satu di Barat Daya, Pulau Pinang, Kinabatangan di Sabah dan Klang, Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, dalam 14 kluster komuniti yang dilaporkan, enam daripadanya dikesan di tujuh daerah di Sarawak iaitu di Sarikei, Pakan, Subis, Limbang, Beluru dan Miri serta Sebauh.

Negeri Kelantan pula sebanyak empat lagi kluster komuniti dikenalpasti di tiga daerah iaitu dua di Kota Bharu dan dua di pasir Mas dan satu di Tumpat.

“Manakala baki empat lagi kluster komuniti telah dilaporkan iaitu dua di Pahang iaitu di daerah Temerloh dan Kuala Lipis dan masing-masing satu di Jasin, Melaka dan Mualim, Perak.

“Sementara satu kes kumpulan berisiko tinggi dikesan di Johor Bahru membabitkan kakitangan dan penghuni sebuah pusat kebajikan di Skudai manakala kluster pendidikan tinggi dilaporkan di Seremban iaitu Metro Sendayan Satu.

“Kluster pendidikan ini dikenalpasti hasil saringan bersasar melibatkan pelajar-pelajar di dua buah institusi pendidikan di Persiaran Metro Sendayan 1, Bandar Seri Sendayan, Seremban,” tegasnya.- MalaysiaGazette