KUALA LUMPUR – Lim Kit Siang yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk dirakam keterangan membabitkan siasatan Himpunan Parlimen pada 3 Ogos lalu berkata, polis tidak patut membuang masa untuk merakam percakapan.
Meskipun rakaman percakapan itu berjalan lancar, katanya, kerajaan patut beri fokus kepada isu-isu lain yang lebih penting.
Penasihat DAP itu tiba ke pekarangan IPD berkenaan ditemani peguamnya jam 12.45 tengahari menaiki kenderaan CRV Honda hitam sebelum memasuki premis berkenaan 12.57 tengahari.
Kemudian wakil rakyat veteran pembangkang itu keluar daripada IPD sekitar jam 1.20 tengahari tadi.
“Segala proses rakam keterangan itu berjalan lancar dan tak lama sangat, sekitar 15 minit sahaja sudah selesai,tetapi tidak patut buang masa panggil kami (ahli Parlimen) dan rakam percakapan,” katanya.
Beliau yang mengulas kejadian itu berkata, pada 3 Ogos lalu ahli-ahli Parlimen pembangkang mahu memasuki Parlimen tetapi dihalang.
Lantaran itu, mereka berkumpul di Dataran Merdeka.
ARTIKEL BERKAITAN:
- 20 ahli Parlimen pembangkang dirakam keterangan setakat ini
- Kesemua 107 MP sertai perhimpunan dipanggil rakam percakapan – Polis
- Anwar rakam keterangan di ibu pejabat PKR
Beliau yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri menabah, sekarang adalah masa yang penting untuk kita berganding bahu menurunkan kes jangkitan pandemik Covid-19 dan mengawal sepenuhnya. – MalaysiaGazette