ACP Noor Dellhan Yahaya

KUALA LUMPUR – Seramai 20 ahli Parlimen pembangkang yang menyertai perhimpunan Solidariti bersama Anwar Ibrahim yang membantah penggantungan persidangan Dewan Rakyat pada 2 Ogos lalu telah dirakam keterangan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, proses rakaman keterangan itu bermula sejak 4 Ogos yang lalu.

“Ia termasuklah tiga lagi ahli Parlimen pembangkang yang tampil dan memberi keterangan di IPD jam 10 pagi tadi iaitu Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok, Ahli Parlimen PKR Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah dan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengesahkan dua lagi pemimpin tertinggi pembangkang turut dirakam keterangan oleh pegawai penyiasatnya pada hari ini.

Artikel berkaitan: Anwar rakam keterangan di ibu pejabat PKR

Enam ahli Parlimen pembangkang dipanggil ke IPD Dang Wangi 

Mereka adalah Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isterinya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen PKR Pandan.

“Anwar dan Wan Azizah juga termasuk dalam 20 ahli Parlimen itu yang dirakam keterangan sehingga hari ini.

Terdahulu sekitar jam 11 pagi, Anwar Ibrahim dan Wan Azizah tiba ke ibu pejabat PKR untuk dirakam keterangan kepada polis dan kehadiran mereka sempat dirakam pengamal media yang menunggu sejak 10 pagi lagi.

Peguam merek Sankara Nair yang turut berada di bangunan itu mengesahkan kepada pemberita bahawa rakaman percakapan terhadap kedua-pemimpin itu selesai dilakukan dengan baik.

Semalam Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Bandar Baru Kulim Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Ahli Parlimen Ipoh Barat Kulasegaran hadir ke IPD Dang Wangi di sebelah pagi dann petang dan selesai memberi keterangan kepada polis.

Turut dirakam keterangan semalam adalah Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub.- MalaysiaGazette