Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isterinya yang juga Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah tiba untuk diambil keterangan berkaitan sekumpulan Ahli Parlimen pembangkang yang berkumpul di Dataran Merdeka setelah tidak dibenarkan memasuki bangunan Parlimen pada Isnin lalu di Ibu Pejabat Keadilan, Petaling Jaya, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 07 OGOS 2021.

PETALING JAYA – Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dirakam keterangan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Ahli Parlimen Port Dickson itu hadir ke Ibu Pejabat PKR itu, sekitar jam 11 pagi tadi dengan ditemani Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Pandan.

Pihak polis tiba di Ibu Pejabat PKR di sini kira-kira pukul 11.15 pagi.

Anwar antara pemimpin yang hadir dalam himpunan ahli-ahli Parlimen pembangkang Solidariti Bersama Anwar Ibrahim dan membantah penangguhan Sidang Parlimen yang diadakan di Dataran Merdeka, pada 2 Ogos lalu.

Dalam satu lagi perkembangan sama, Ahli Parlimen DAP Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah dan Sivarasa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi 10 pagi tadi untuk dirakam keterangan berkaitan kes yang sama.

Ketiga-tiga pemimpin pembangkang itu meninggalkan bangunan polis 50 minit kemudian.

Pada jam 9.30 pagi 2 Ogos lalu, sejumlah ahli Parlimen pembangkang berarak untuk memasuki bangunan Parlimen, bagaimanapun tidak berjaya apabila disekat polis.

Selain Anwar Ibrahim, antara yang hadir adalah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim minggu lalu dalam sidang media mengesahkan kesemua 107 ahli Parlimen pembangkang yang dikenalpasti akan dipanggil untuk merakam keterangan mereka bagi membantu siasatan kes tersebut.-MalaysiaGazette