Pihak bomba berjaya gagalkan cubaan bunuh diri seorang lelaki di Flat Padang Tembak, Ayer Itam dalam kejadian pada bulan Mei lalu.

JIKA dahulu, bunuh diri merupakan tingkah laku yang jarang-jarang berlaku dan janggal
dalam masyarakat Malaysia namun kini ianya menjadi polemik yang semakin
membimbangkan di mana peratusan dan angka bunuh diri dilihat kian meningkat saban
tahun. Statistik yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan jumlah
kes bunuh diri sebanyak 1,099 telah dicatatkan sejak tahun 2020 sehingga Mei 2021.

Angka ini amat menyedihkan dan ia merupakan penanda aras terhadap tahap kesihatan mental rakyat Malaysia yang dilihat kian parah. Pandemik yang melanda negara selama hampir dua tahun ini merupakan faktor penyumbang kepada masalah kesihatan mental bagi kebanyakan individu, yang seterusnya meningkatkan risiko tingkah laku bunuh diri.
Hakikatnya, wabak yang melanda seluruh dunia ini dilihat seperti tiada kesudahan.

Tambah merisaukan apabila Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengeluarkan amaran tentang kemunculan varian Delta yang cepat merebak dan sentiasa bermutasi sehingga
mengakibatkan dunia kini dalam tempoh bahaya. Rata-rata rakyat Malaysia terutamanya
dalam kalangan B40 begitu terkesan dengan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dalam norma baharu ini. Ramai yang kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

Ada juga yang bergelut dengan konflik rumahtangga dan perceraian. Tidak ketinggalan juga, ramai rakyat Malaysia yang mengalami gangguan emosi dan masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan panik yang disebabkan oleh keadaan tekanan yang melampau susulan isolasi daripada rangkaian sokongan keluarga dan sahabat handai. Susulan itu, Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia yang disambut pada setiap tanggal 10 September bermula tahun 2003 merupakan salah satu langkah proaktif yang ditunjukkan oleh WHO setelah mendapati bahawa bunuh diri merupakan isu sejagat yang sangat serius.

Ia juga membawa simbolik keprihatinan seluruh warga dunia terhadap isu bunuh diri yang kian meruncing. ‘Bertindak Segera, Harapan Terbina’ merupakan tema bagi sambutan pada kali ini. Ia bertujuan untuk meningkatkan keyakinan masyarakat bagi memainkan peranan penting dalam mencegah insiden bunuh diri dan menghapuskan stigma berkaitan tingkah laku bunuh diri. Dalam mendepani situasi dan cabaran pandemik COVID-19, ahli keluarga khususnya haruslah lebih peka dan bergerak secara bersama dalam mengenal pasti simptom-simptom awal kemurungan serta tingkah laku bunuh diri dalam kalangan orang-orang yang disayangi.

Sambutan sebegini hakikatnya memberi nafas baru kepada individu yang mengalami tekanan dan masalah mental untuk tidak mengambil tindakan bunuh diri sebagai jalan terakhir terhadap kemelut masalah yang dihadapi. Tambahan itu, tema Hari Pencegahan Bunuh Diri Sedunia pada tahun ini juga menjadi satu wadah dalam merealisasikan harapan semua pihak untuk melihat penurunan kes bunuh diri ini. Pemerkasaan institusi kekeluargaan adalah sangat penting dan signifikan dalam membantu individu yang mempunyai masalah kesihatan mental untuk tidak terjebak ke arah kancah bunuh diri.

Pengesanan awal gejala kemurungan, stres dan hopeless (hilang harapan) boleh mengelak daripada berlakunya kes bunuh diri sebelum terlambat. Perbuatan membunuh
diri ini boleh dihalang sekiranya individu di sekeliling terutamanya ahli keluarga, pasangan
dan sahabat terdekat peka dengan perubahan sikap yang dialami oleh pelakunya. Gejala-
gejala seperti sering menunjukkan emosi yang tidak stabil iaitu cepat marah, menangis
sepanjang masa, rasa bersalah dalam diri yang berlarutan hampir setiap hari dalam tempoh dua minggu, hilang minat untuk meneruskan aktiviti harian seperti mengelak daripada berinteraksi dengan keluarga, rakan dan masyarakat merupakan petanda awal bahawa individu ini perlu dibantu.

Gejala lain seperti cenderung untuk mengasingkan diri, perubahan bentuk fizikal yang mendadak seperti kehilangan berat badan, corak tidur yang tidak menentu sama ada kurang tidur atau tidur secara berlebihan dan selalu letih juga merupakan tanda-tanda amaran bahawa individu ini perlu mendapatkan rawatan dan khidmat dari kaunselor
serta pakar psikiatrik agar masalah atau penyakit yang dialami tidak melarat dan membawa kepada kecenderungan untuk membunuh diri. Umumnya, dari sudut pandang psikologi kehidupan seseorang sangat dipengaruhi oleh tahap kesihatan mental.

Gangguan terhadap kesihatan mental merupakan punca utama yang mendorong individu bertindak untuk membunuh diri. Konsep ‘Cry for help’ atau menangis untuk bantuan sering digunakan bagi kes percubaan membunuh diri. Bagi  ndividu yang sihat mental, mereka cenderung untuk menjalani kehidupan dengan harmoni serta dapat
membentuk perhubungan yang baik dengan masyarakat dan persekitaran. Hal yang
sebaliknya berlaku dalam diri individu yang mempunyai idea untuk bunuh diri.
Tindakan bunuh diri sebagai penyelesaian akhir mengundang kepada pelbagai implikasi dan menerjah batas norma kehidupan serta makhluk ciptaan Allah SWT. Adakah amalan agama yang goyah mendorong individu terjebak dalam gejala bunuh diri?. Asasnya, membunuh diri bermaksud perbuatan mengambil nyawa sendiri dengan sengaja.

Sekiranya perbuatan itu gagal, ia dinamakan cubaan membunuh diri. Dalam Islam, perbuatan membunuh diri adalah dilarang dan ia merupakan salah satu perkara yang membawa kepada dosa besar. Allah SWT melarang hambaNya daripada melakukan perkara-perkara yang boleh membinasakan diri sebagaimana firmannya dalam surah Al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan.” Tambahan itu, hadis sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim ada menyatakan natijah yang akan diterima seseorang yang membunuh diri dalam hadis yang bermaksud “Sesiapa yang membunuh diri dengan sesuatu cara, pada hari kiamat kelak dia akan diseksa dengan cara seperti itu pula.”

Oleh itu, masyarakat harus cakna untuk memainkan peranan dalam mengatasi kes bunuh diri dari berleluasa. Sentiasa menghulurkan bantuan sama ada dari segi kewangan dan menjadi pendengar yang baik kepada individu yang memerlukan sokongan. Keberadaan seseorang di sisi individu yang mempunyai kecenderungan bunuh diri sangat diperlukan untuk mengelakkan keadaan bertambah buruk. Oleh itu, sentiasa memberi kata semangat dan menjadi penyokong kepada individu yang mengalami masalah pada saat ini. Hal ini dapat mengubah keadaan dan memberi peneguhan kepada mereka untuk meneruskan hidup dan sentiasa mencari jalan penyelesaian pada setiap masalah yang dihadapi.

Konklusinya, setiap masyarakat haruslah sedar dan peka terhadap aspek kesihatan mental diri, keluarga, jiran tetangga serta masyarakat setempat agar kita semua dapat hidup dengan harmoni dan tenteram. Setiap dari kita haruslah bijak dalam menyalurkan segala tekanan dan apa jua permasalahan yang dihadapi pada tempat dan cara yang betul. Terdapat pelbagai inisiatif yang dilakukan oleh pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan bagi membantu individu yang sedang bergelut dengan emosi dan tekanan kehidupan yang menyesakkan terutamanya di kala tsunami wabak COVID-19 yang melanda ini.

Justeru, sebagai rakyat Malaysia, kita harus bijak mengambil ruang dan peluang ini untuk menyelesaikan permasalahan yang dialami.  Bukannya dengan mengambil jalan singkat atau ‘short-cut’ dengan membunuh diri. Ingatlah, pepatah Melayu ada mengatakan ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’. Janganlah diikut rasa hati yang resah dan gundah gulana kerana kelak badan sendiri yang binasa.

Oleh: Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)