Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Kelonggaran baharu yang telah dipersetujui secara prinsip termasuk kebenaran rentas negeri akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata, keputusan mengenai perkara tersebut telah diperincikan dalam mesyuarat khas membabitkan tiga lagi kementerian hari ini.

“Kelonggaran-kelonggaran baharu yang telah dipersetujui secara prinsip, Perdana Menteri akan umumkan dalam masa terdekat ini.

“Saya akan bawa perbincangan empat Menteri ini kepada Perdana Menteri hari ini dan beliau akan menentukan masa dan tempat untuk mengumumkan kelonggaran selanjutnya,” katanya menerusi sidang media di Parlimen hari ini.

Turut hadir, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, perbincangan empat kementerian yang berlangsung hari ini tertumpu kepada kepada empat agenda utama.

Agenda tersebut termasuk melihat semula keputusan berhubung kelonggaran sebelum ini dan bagaimana prosedur operasi standard (SOP) sedia ada dapat diperkemaskan lagi agar lebih mudah difahami.

Selain itu, mesyuarat hari ini juga meneliti kelonggaran-kelonggaran yang telah dipersetujui secara prinsip di peringkat Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik dan memperincikan SOP sesuai sebelum diumumkan kepada orang ramai.

Selain itu, keempat-empat menteri juga melihat potensi pembukaan lebih banyak sektor pada masa hadapan termasuk memperluaskan lagi kelonggaran dalam sektor pelancongan dan memperincikan naratif menjelang peralihan ke fasa endemik bermula hujung Oktober.

Selain itu, Hishammuddin berkata, beliau bersama tiga lagi menteri akan memperhalusi usaha ke arah memperkemaskan lagi SOP-SOP sedia ada supaya ia lebih difahami rakyat, golongan industri dan pihak yang menjalankan penguatkuasaan.

“Buat masa ini, terdapat 181 SOP merangkumi keempat-empat fasa PPN. Menerusi usaha memperkemaskan semula SOP berkenaan, matlamatnya adalah untuk mengurangkannya hanya kepada 10 SOP.

“Mungkin dalam tempoh masa dua hingga tiga minggu ini saya harap ia dapat dilaksanakan, kita akan kurangkan jumlah SOP dan minta Tan Sri Annuar Musa bantu menerusi platform yang ada dan kita akan koordinasikan supaya mudah untuk orang ramai faham,” katanya. – MalaysiaGazette