Aminuddin Yahaya

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor disaran agar tidak campurtangan atau melakukan provokasi berhubung cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Doktrin Agama Serta Kepercayaan Bukan Islam di Kalangan Orang Islam.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya berkata, pihaknya memahami bahawa cadangan itu masih lagi di peringkat Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak/ Sivil untuk digubal.

Ini bermakna katanya, perincian RUU itu masih belum siap dan belum wajar didedahkan kepada umum.

“Secara umumnya, konsep asas kepada Rang Undang-Undang yang dicadangkan ini bukanlah suatu perkara yang asing dan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan sebagai mana yang disebut oleh Setiausaha Agung Parti DAP, Lim Guan Eng dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dari parti Bersatu.

“Undang-undang yang dicadangkan adalah undang-undang yang berasaskan kepada Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan yang menyebut Dewan Undangan Negeri (bagi negeri) dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) boleh membuat undang-undang bagi mengawal dan menyekat pengembangan doktrin agama dan kepercayaan bukan Islam di kalangan orang Islam.

“Undang-undang tersebut dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan yang merupakan undang-undang tertinggi negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ujarnya, secara perlembagaan, Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan menyekat kuasa Parlimen membuat undang-undang berkenaan bagi mana-mana negeri dengan kata lain, Rang Undang-Undang itu jika diluluskan, hanya akan terpakai untuk Wilayah-Wilayah Persekutuan sahaja.

Selama ini, katanya, sebanyak 10 buah negeri sudahpun mempunyai Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam di Kalangan Orang Islam dan langsung tidak pernah dipertikaikan keabsahannya.

Tambah beliau, ketika ini hanya Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak sahaja yang belum lagi mempunyai undang-undang tersebut dan disebabkan itu Rang Undang-Undang berkenaan hanya akan terpakai kepada Wilayah Persekutuan sahaja.

“Ketua Menteri Sabah tidak perlu membantah kerana selagi Dewan Undangan Negeri berkenaan tidak membuat undang-undang tersebut, akta yang ingin digubal tidak dapat diaplikasi kepada Sabah.

“Jika DUN Negeri Sabah menolaknya, maka ianya tidak akan dilaksanakan dan ketika itu rakyat akan menilai kepimpinan DUN tersebut yang diketuai oleh beliau sendiri,” katanya. – MalaysiaGazette