Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadangkan supaya memperkenalkan pakej Cukai Pemulihan Covid-19 dalam tempoh dua tahun atau sehingga ekonomi dan fiskal kerajaan pulih.

Cukai ini seperti cukai durian runtuh, cukai pembangunan kondo mewah, cukai duti setem transaksi harta dan perdagangan saham, kenaikan cukai peribadi kepada golongan berpendapatan tinggi.

Bekas perdana menteri itu berkata, keadaan pandemik Covid-19 yang merusingkan serta norma baharu yang dipraktikkan di negara membuka jalan bagi pembaharuan ekonomi lebih inovatif dan berani.

“Ramai yang memberi cadangan kepada kerajaan bagaimana mahu membelanjakan peruntukan dalam menangani Covid-19.

”Bagaimanapun, saya dapati kurang yang mencadangkan bagaimana kerajaan boleh memperoleh hasil atau pendapatan kepada negara.

”Hakikatnya untuk menjamin kelangsungan sebuah kerajaan dan ekonomi adalah amat penting mengimbangkan antara perbelanjaan dengan hasil,” katanya ketika ucapan Perbahasan Titah Yang di-Pertuan Agong.

Beliau juga mencadangkan kerajaan menuntut perkongsian hasil untung yang diperolehi industri perkhidmatan atas talian dari syarikat-syarikat gergasi antarabangsa seperti Amazon, Netflix, Youtube, Google, Facebook yang selama ini mengaut keuntungan tetapi tidak pernah dicukai oleh negara.

Ini adalah cukai ke atas keuntungan syarikat, bukan ke atas pengguna atau pelanggan.

Jelas Najib, cukai ini bukan perkara baharu kerana negara lain seperti Australia dan Indonesia pernah menuntut dan dibayar oleh syarikat-syarikat tersebut.

Tambahnya, satu lagi contoh bagaimana kerajaan boleh mendapatkan pendapatan ialah dengan menjual sebahagian saham dalam syarikat Digital Nasional Berhad yang sedang membina infrastruktur 5G di negara ini.

Penjualan ini boleh dibuat kepada syarikat-syarikat telco tempatan untuk menjana pendapatan negara serta mengurangkan beban perbelanjaan bagi projek yang bernilai RM15 bilion ini.

Ahli Parlimen Pekan ini turut mencadangkan supaya kerajaan memperkenalkan program kepada bank-bank supaya membiayai 70 peratus daripada pembelian saham bagi setiap rakyat yang ingin membuat pelaburan dalam senarai saham yang dibenarkan.

“Ini samalah seperti skim pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB) yang sudah dilaksanakan sejak dahulu lagi. Rakyat mampu membina kekayaan apabila harga saham naik. Jika tidak naik pun, kadar dividen masih boleh membiayai kos faedah.

“Memandangkan pasaran saham melambangkan keyakinan dan kecergasan ekonomi, kerajaan perlu melaksanakan langkah yang mampu menambah keyakinan pelabur untuk menjadikan pasaran saham Malaysia lebih dinamik, lebih menarik dan lebih merangsang perhatian pelabur,” katanya lagi.

Selain itu, beliau turut mengemukakan beberapa langkah yang boleh dilaksanakan, termasuklah menggantung sekali lagi Aktiviti Jualan Singkat ‘regulated short selling’ serta ‘script borrowing and lending’ sekurang-kurangnya selama enam bulan seperti dilaksanakan tahun lepas.

Menurutnya, inisiatif ini boleh dilakukan demi menstabilkan pasaran saham dan melindungi pelabur runcit.

Kata Ahli Parlimen Pekan itu lagi, kerajaan juga boleh menaikkan aliran tunai dalam ekonomi termasuk memperkenalkan i-Survive.

Kaedah ini tidak akan memberi kesan kepada hutang langsung negara kerana ia merupakan jaminan kerajaan pada bank, ujarnya.

“Mengambilkira kenyataan dari kerajaan bahawa kita tidak ada banyak duit lagi untuk membantu rakyat, saya cadang skim i-Survive iaitu skim pinjaman mudah dengan caj perkhidmatan sebenar paling rendah sebanyak RM3,000 – RM5,000 setiap pemohon.

”Sesiapa dari golongan B40, M40 boleh memohon kepada bank dan akan diluluskan secara automatik untuk dibayar terus ke dalam akaun pemohon 2 hingga 3 hari kemudian.

”Pinjaman ini disediakan oleh pihak bank tetapi dengan jaminan penuh kerajaan. Caj perkhidmatan sebenar paling maksimum adalah 3% ataupun bersamaan dengan RM90 setahun bagi pinjaman RM3,000 dengan tempoh bayaran balik selama 3 tahun.

“Kerajaan akan membantu pembayaran balik setiap tahun dengan geran atau potongan dari BPN sehingga dijelaskan penuh, katanya.

Menurut Najib, institusi perbankan jangan bimbang  tidak mempunyai cukup dana untuk memberi pinjaman i-Survive kerana jika 10 juta rakyat yang memohon RM5,000 seorang, jumlahnya baru RM50 billion.

”Tak sampai 10% daripada jumlah pinjaman bank yang dibuat bank pada hari ini. Bank-bank Malaysia mencatat keuntungan tertinggi biarpun dalam keadaan pandemik,” tambahnya.

Najib yang juga bekas menteri kewangan turut memberi cadangan supaya negara mengadakan kerjasama dengan platform dagangan kripto antarabangsa bagi memudahkan, mengalakkan dan membenarkan pemegang Kripto asing membawa masuk aset ke negara ini secepat mungkin untuk dilabur dalam aset fizikal di pasaran tempatan.

Kata beliau, matlamat kepada usaha ini adalah untuk membawa aset kripto melabur di dalam Malaysia dan bukan untuk rakyat Malaysia membawa keluar.

“Bayangkan jika Malaysia berjaya menawan 5 peratus sahaja daripada nilai US$2 trilion aset kripto dunia? Ini bersamaan dengan pengaliran dana asing sebanyak US$100 bilion atau RM410 bilion yang boleh memanfaatkan negara.

“Siapa cepat, dia dapat. Pada zaman pandemik ini, banyak negara dalam dunia sedang menuju ke arah pendekatan yang lebih berani seperti negara Switzerland, Singapura, Australia dan Korea. Kita jangan lambat untuk merebut peluang,” ujarnya lagi.-MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.