Institut Sukan Negara (ISN)

KUALA LUMPUR – Institut Sukan Negara (ISN) memperkenalkan sambutan ‘ISN10’ sempena meraikan ulang tahun ke-10 agensi sukan berprestasi tinggi negara.

Menurut kenyataan ISN, sambutan tersebut merupakan simbolik kepada peranan penting agensi berkenaan di dalam kemajuan sukan negara dan tekad warga institut itu bagi meneruskan legasi kecemerlangan dalam dekad mendatang.

Bersempena sambutan ISN10, ia akan menganjurkan ISN10 Virtual Run pada 10 Oktober hingga 10 November dengan objektif utama memberi kesedaran kepada orang ramai untuk mengamalkan gaya hidup sihat sambil beriadah secara santai.

“Program ini merupakan inisiatif ISN bagi menyemarakkan sambutan Hari Sukan Negara oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Acara larian ini terbahagi kepada dua kategori iaitu 10 dan 42 kilometer serta terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan bukan warganegara Malaysia,” menurut kenyataan itu.

Pada masa sama, ISN dengan kerjasama Futurise Sdn Bhd (Futurise) dan Plan A turut akan menganjurkan ISN10-Rempit Rabu E-Race Series iaitu siri perlumbaan berbasikal secara maya yang turut menawarkan hadiah bernilai RM10,000.

Menurut ISN, penganjuran siri perlumbaan yang akan berlangsung selama empat minggu bermula 15 September hingga 6 Oktober itu adalah untuk meraikan hari bersejarah agensi itu bersama komuniti Zwift iaitu permainan video realiti maya.

ISN diumumkan sebagai badan berkanun Persekutuan di bawah KBS pada 16 September 2011. – MalaysiaGazette