Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai menyantuni pesara tentera, Mohd Khair Mokhtar, 64 pada lawatan sempena Sambutan Hari Malaysia di Setapak, Kuala Lumpur. Foto FARHAN MAHAMAD, 16 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Semua lapisan masyarakat diseru agar sentiasa menyanjung tinggi pengorbanan pejuang terdahulu dalam membawa negara ini keluar daripada ancaman komunis.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, penghargaan juga harus diberikan kepada petugas barisan hadapan ketika ini yang turut sama terlibat dalam memastikan rakyat sentiasa berada dalam kehidupan yang sejahtera.

“Kedamaian itu tidak jatuh daripada langit…ini semua datangnya daripada pengorbanan dan keberanian mereka menjaga keselamatan negara kita.

“Saya ingin ucap terima kasih kepada semua pejuang barisan hadapan yang sanggup berkorban nyawa demi membawa kesejahteraan kepada keseluruhan rakyat terutama ketika negara sedang bergelut dengan ancaman Covid-19.

“Ini sangat penting untuk kita meneruskan kehidupan dalam keadaan cabaran yang sangat besar untuk Malaysia,” katanya ketika ditemui di kediaman veteran tentera Mohd Khair Mokhtar, 67, pada lawatan Parti Gerakan dalam menyantuni pesara Angkatan Tentera Malaysia sempena Hari Malaysia hari ini.

Dominic berkata, pesara-pesara tentera sememangnya merupakan wira yang telah banyak berjasa kepada negara ini dan titik peluh mereka itu haruslah dibalas dengan kedamaian dan keharmonian.

Ujarnya, beliau kesal kerana terdapat segelitinr pihak yang dengan mudah melupakan pengorbanan wira-wira terdahulu dan sikap seperti itu seharusnya dihentikan.

“Mereka (pesara tentera) telah menunjukkan keberanian dan berkorban diri untuk negara daripada ancaman luar…ini bukan senang,” tambahnya.

Sementara itu, Mohd Khair berkata, dia sangat teruja apabila ada pihak masih lagi menghargai dirinya meskipun beliau sudah tidak lagi bersama dalam mempertahankan negara.

Katanya, mekipun beliau tidak turut serta dalam medan pertempuran menentang komunis kerana ditugaskan dibahagian semboyan ketika negara belum lagi mencapai kemerdekaan namun, kehadiran parti Gerakan ke kediamannya yang diketuai presidennya menyentuh hatinya.

“Saya sangat teruja dan merasa diri ini dihargai. Saya tak sangka mereka akan datang berkunjung…saya bukanlah anggota pangkat besar hanya berpangkat sarjan sahaja sebelum ini, saya rasa sungguh istimewa dan sangat bertuah,” ujarnya. – MalaysiaGazette