Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Nancy Shukri (kiri) bersama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor (kanan) beramah mesra dengan salah seorang wakil pemain industri yang menerima anugerah pada Majlis Pelancaran Inisiatif Pelancongan Sempena Pembukaan Semula Pulau Langkawi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Kedah. Foto HAZROL ZAINAL, 15 SEPTEMBER 2021.

LANGKAWI – Kerajaan mahu menjamin keselamatan semua pihak apabila mewajibkan pelancong menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum dibenarkan masuk ke Langkawi.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keputusan itu dibuat bagi mengelak berlaku jangkitan dan peningkatan kes Covid-19 di pulau peranginan itu disebabkan kehadiran pelancong.

Menurutnya, sekiranya penularan virus itu kembali, terdapat kemungkinan tindakan drastik termasuk menutup semula Langkawi kepada pelancong diambil kerajaan.

“Hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) meminta ujian saringan dibuat ke atas pelancong sebelum ke Langkawi, walaupun ia agak mengelirukan orang ramai tetapi ia dibuat dengan niat baik.

“Dalam mesyuarat sebelum ini, kita putuskan ujian saringan tidak perlu kerana hanya individu lengkap dua dos dibenarkan ke Langkawi, tetapi mereka sebenarnya masih boleh dijangkiti,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Projek Rintis Gelembung Pelancongan Domestik Langkawi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), di sini, malam tadi.

Turut hadir, Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam kenyataan memaklumkan pelancong yang akan ke Langkawi bermula hari ini perlu menjalani ujian pengesanan Covid-19 sebelum memulakan perjalanan.

Khairy berkata, ujian saringan mesti dilakukan oleh individu dewasa berumur 18 tahun ke atas dan kanak-kanak serta remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun.

Sementara itu, Sanusi berkata, pelancong yang masuk ke Langkawi hari ini tidak perlu bimbang kerana ujian pengesanan akan dibuat secara percuma di lapangan terbang dan terminal feri.

Bagaimanapun, pihaknya belum menentukan sama ada ujian pengesanan yang dilakukan secara percuma itu akan diteruskan kerana ia membabitkan kos yang perlu diserap KKM. – MalaysiaGazette