Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas lebih satu tan serpihan kayu bernilai RM2,161

KUANTAN – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) merampas lebih satu tan serpihan kayu bernilai RM2,161 yang digunakan sebagai alas haiwan peliharaan dari negara China.

Menurut kenyataan Maqis, serpihan yang dibawa dalam sebuah kontena itu dirampas kerana gagal mematuhi syarat import yang dipercayai masuk melalui Pelabuhan Kuantan pada Rabu lalu.

“Ketika pemeriksaan rutin setelah pihak terlibat gagal mengemukakan sijil fitosanitasi kepada pegawai pemeriksa sebagai mana disyaratkan dalam permit import yang diluluskan.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728),” katanya.

Jika disabitkan kesalahan, pihak terlibat boleh didenda mengikut Seksyen 15(2) akta yang sama iaitu denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Manakala bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda tidak melebihi RM150,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, menurut Maqis, jabatan itu akan terus memperketatkan kawalan sempadan dan tidak akan berkompromi ke atas biosekuriti barangan yang dibawa masuk dari luar negara.

“Ia bagi memastikan komoditi pertanian mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan,” ujarnya. – MalaysiaGazette