BUTTERWORTH – Polis menumpaskan satu sindiket memproses dan menjual air ketum dalam satu serbuan di sebuah premis di Kampung Manggis di sini semalam.
Operasi kira-kira pukul 9 malam oleh sepasukan polis dari Balai Polis Sungai Dua itu turut membawa kepada tangkapan tiga lelaki berusia lingkungan 28 hingga 47 tahun yang terlibat dalam kegiatan haram tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil siasatan mendapati sindiket ini aktif sejak tiga bulan lalu dan penjualan air ketum dibuat sekitar Seri Pinang, Butterworth.
Dalam serbuan itu pihaknya merampas sebanyak enam tong berwarna jingga berisi 654 bungkus plastik lutsinar berikat getah diayaki air ketum.
“Selain itu, kita juga merampas tiga bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat kira-kira 15 kilogram.
“Secara keseluruhan, nilai rampasan berjumlah RM1,785,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Noorzainy, hasil saringan ujian air kencing mendapati dua suspek positif dadah jenis morfin, manakala seorang lagi positif methamphetamine.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaGazette