KUALA LUMPUR – Yayasan PEKEMA di bawah Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) memperuntukkan sebanyak RM600,000 tahun ini bagi membantu anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz di seluruh negara menyambut Ramadan dan membuat persiapan menjelang Aidilfitri.
Inisiatif tahunan itu menyaksikan lebih 500 penerima baucar membeli-belah dalam satu program khas yang berlangsung di Mydin Mall USJ, Subang Jaya, hari ini, yang mana ia merupakan lokasi pertama sebelum program diteruskan ke negeri-negeri lain.
Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, program itu bukan sekadar satu bentuk sumbangan kelengkapan semata-mata, tetapi juga lambang keprihatinan dan solidariti masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.

“Kehadiran kita hari ini bukan hanya untuk menyampaikan sumbangan, tetapi juga sebagai tanda kasih dan sokongan kepada mereka yang kurang berkemampuan.
“Program ini diharap dapat membawa kegembiraan dan meringankan beban mereka dalam menyambut Syawal tidak lama lagi,” katanya ketika merasmikan program Bantuan Persiapan Menjelang Syawal Yayasan PEKEMA 2025, di sini, hari ini.
Tidak hanya tertumpu di Selangor, bantuan itu turut diperluaskan ke beberapa negeri lain bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan dapat merasai manfaatnya.
Selain menerima baucar bernilai RM200 setiap seorang, anak-anak asnaf dan pelajar tahfiz dari pelbagai institusi termasuk Persatuan Kebajikan Al Rayyan Malaysia (OKU Mata); Masjid Hidayatul Muttaqin; Madrasah Quran Darussalam (MQDS) dan Maahad Tahfiz Miftahul Ulum itu turut disantuni dalam program berkenaan.
Menjadikan Mydin Mall USJ sebagai lokasi utama sesi membeli-belah raya penerima bantuan, program itu turut mendapat sokongan daripada pihak Mydin apabila turut disertai Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis tersebut, Mohamed Nazari menzahirkan harapan supaya usaha tersebut dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai pihak untuk turut serta dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Setiap sen yang disumbangkan dalam program ini adalah hasil keprihatinan mereka yang percaya bahawa kebajikan harus dikongsi bersama.
“Kami berharap inisiatif ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi di masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, pada majlis sama, Dongfeng Cars Malaysia (Dongfengs) edaran anak syarikat PEKEMA, Central Auto Distributors Bhd. turut mengambil kesempatan mempamerkan model kenderaan elektrik (EV) baharu mereka, Dongfeng Box.
Ia bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk melihat dan merasai sendiri keunikan serta teknologi terkini EV tersebut.
Dongfeng memperkenalkan tawaran istimewa bagi dua model EV mereka iaitu Dongfeng E2 dan Dongfeng E3, dengan harga bermula RM78,888 dan RM88,888, namun dalam unit yang terhad.
Inisiatif itu selaras dengan komitmen PEKEMA dalam menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia dan mendidik masyarakat mengenai kelebihan teknologi hijau untuk masa depan yang lebih lestari. – MalaysiaGazette
















