Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Semakan status kelulusan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) boleh dibuat mulai esok menerusi portal BPR, https://bpr.hasil.gov.my.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran rayuan BPR itu akan melibatkan hampir 200,000 penerima dengan anggaran peruntukan sebanyak RM240 juta.

“Pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank yang
didaftarkan semasa permohonan rayuan BPR pada penghujung September 2021 bersekali dengan penerima bayaran BPR Fasa 3,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, kerajaan telah mengemaskini data golongan B40 yang layak menerima BPR melalui permohonan rayuan yang dibuka pada 15 sehingga 30 Jun lalu.

Tambah Tengku Zafrul, permohonan rayuan ini telah diverifikasi semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memastikan inisiatif bantuan tunai itu dapat disalurkan dan dimanfaatkan oleh golongan yang benar-benar layak.

Beliau memberitahu, kerajaan berharap bantuan tunai yang secara keseluruhannya berjumlah RM17.1 bilion
sehingga hujung tahun ini boleh membantu penerimanya menampung dan menguruskan perbelanjaan mereka.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, selaras dengan pengumuman kelulusan rayuan BPR itu, kerajaan turut memberi peluang kepada golongan yang lulus rayuan BPR menyertai Program Jaringan Prihatin .

Berikutan itu, jelasnya, tarikh akhir pendaftaran dan penebusan program tersebut akan dilanjutkan sehingga 30 September ini.

“Pelanjutan ini juga bertepatan dengan situasi semasa dan memberi ruang dan masa kepada mereka yang perlu mendaftar dan menebus telefon mereka di kedai secara fizikal,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan sentiasa komited untuk memastikan program yang disediakan menepati kehendak golongan sasar dan memudahkan pembelajaran anak-anak golongan B40 mendapatkan pakej telekomunikasi ataupun pakej peranti mudah alih. – MalaysiaGazette