Home Nasional Warga emas pandu lawan arus ditahan polis

Warga emas pandu lawan arus ditahan polis

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga emas yang memandu kenderaannya melawan arus di Shah Alam semalam ditahan polis.

Kejadian pukul 1 tengahari di Persiaran Tun Teja, di sini, merupakan insiden kelima dilaporkan dalam tempoh kurang 10 hari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol berkata, siasatan awal polis mendapati suspek berusia 74 tahun itu memandu kereta Toyota Prius dari arah Plaza Tol Alam Impian menuju ke Jalan Batu 4, Shah Alam dalam keadaan melawan arus.

“Pemandu mendakwa dia telah tersalah masuk laluan bertentangan di bulatan pertama selepas Plaza Tol Alam Impian dan keluar di bulatan kedua di Persiaran Tun Teja.

“Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan membabitkan kenderaan berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, lelaki tersebut disiasat di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan melulu atau membahaya.

Menurut Ramsay, ujian saringan air kencing terhadap suspek didapati negatif.

“Pemandu warga emas itu kini telah ditahan dan ditangkap untuk tindakan lanjut polis melengkapkan siasatan,” ujarnya.

Ramsay meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai insiden itu menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Inspektor Mohd Zulkifli Razak di talian 0194475767. – MalaysiaGazette