28 keluarga telah diselamat dan dipindahkan ke kawasan sementara selepas kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights di Hulu Langat akibat hujan lebat malam ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 28 keluarga di Kemensah Height, di sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara berikutan kejadian tanah runtuh di kawasan itu akibat hujan lebat pada petang semalam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.33 malam semalam.

“Rentetan panggilan itu, sepasukan anggota bomba bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ampang dikejarkan segera ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, kami mendapati berlaku tanah runtuh di bahagian belakang 19 rumah di kawasan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

28 keluarga telah diselamat dan dipindahkan ke kawasan sementara selepas kejadian tanah runtuh di Kemensah Heights di Hulu Langat akibat hujan lebat malam ini.

Tambah beliau, pihaknya mengarahkan 28 keluarga berkenaan supaya keluar dari kediaman masing-masing ke pusat pemindahan sementara bagi mengelak sebarang kemungkinan serta kejadian susulan selepas ini.

“Difahamkan kejadian runtuh berkenaan berlaku berikutan hujan lebat dan keadaan tanah lembut sebelum runtuhan berlaku tiba-tiba pada petang tadi.

“Setakat ini tiada mangsa dilaporkan tercedera dalam kejadian tanah runtuh itu,” katanya. – MalaysiaGazette