Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Malaysia akan terus berpegang teguh mempertahankan keamanan dan keselamatan antarabangsa di rantau Indo-Pasifik.

Ini termasuklah perlucutan senjata nuklear, ketidakcambahan nuklear dan penggunaan teknologi nuklear secara aman.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussien, penubuhan AUKUS iaitu kerjasama tiga hala antara Australia – United Kingdom – Amerika Syarikat) akan menyebabkan berlakunya peningkatan persaingan senjata di rantau ini.

Jelas Hishammuddin, pertambahan kapal selam dan kapal perang bertenaga nuklear terutama di Laut China Selatan pastinya akan mengganggu keamanan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara.

“Semua pihak harus menahan diri daripada menggunakan tindakan ketenteraan yang dianggap provokatif, selain berpotensi meningkatkan ketegangan serta mencetuskan konflik di kawasan itu.

“Sebagai anggota ASEAN, Malaysia akan sentiasa berpegang teguh pada prinsip dalam mempertahankan keamanan dan keselamatan antarabangsa. Semua perlu hormat pendirian dan pendekatan Malaysia yang sedia ada di bawah Konvensyen PBB 1982 tentang Undang-undang Perjanjian Laut (UNCLOS).

“Juga Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ) dan Zon Aman, Bebas, dan Berkecuali (ZOPFAN),” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya memaklumkan Ismail Sabri menyuarakan kegusaran terhadap penubuhan AUKUS dan menegaskan pendirian Malaysia bahawa kerjasama itu akan memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik.

Menurut kenyataan itu, AUKUS akan menyebabkan provokasi kuasa- kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

Dalam pada itu, kata Hishamuddin lagi, beliau yang sebelum ini pernah menjawat jawatan Menteri Luar, sentiasa konsisten dalam memastikan tidak berlaku sebarang pertembungan sehingga tercetusnya sebarang insiden tidak diingini.

“Semua perkara perlu diselesaikan secara membina dan aman.

“Saya dijadualkan untuk bercakap dengan Menteri Pertahanan Australia esok melalui panggilan telefon. Dalam perbincangan ini saya akan sahkan kembali kedudukan Malaysia serta pandangan perdana menteri,” ujarnya. -MalaysiaGazette