Imran Khan. foto SYAFIQ AMBAK, 04 FEBRUARI 2020.

DUSHANBE – Pakistan telah memulakan dialog dengan Taliban bagi pembentukan kerajaan Afghanistan yang meliputi etnik Tajik, Hazaras dan Uzbek.

Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan yang melakukan lawatan dua hari ke Tajikstan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SOC) menemui pemimpin jiran Afghanistan membabitkan Iran, Kazakhstan, Uzbekistan dan Tajikistan.

“Selepas bermesyuarat dengan negara jiran Afghanistan di Dushanbe dan khususnya satu perbincangan yang panjang dengan Presiden Tajikistan, Emomali Rahmon saya telah memulakan dialog dengan Taliban bagi pembentukan kerajaan inklusif yang membabitkan (kaum etnik) Tajik, Hazaras dan Uzbek,” katanya menerusi akaun Twitter seperti dipetik Daily Times.

Beliau berkata, selepas konflik selama 40 tahun, adalah perlu memastikan keamanan dan kestabilan di Afghanistan dicapai dengan kepentingannya tidak sahaja untuk negara itu tetapi juga untuk rantau tersebut.

Sementara itu, Imran Khan berkata, beliau percaya Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden menjadi sasaran ‘kritikan tidak adil’ berikutan pengunduran tentera negara itu di Afghanistan, dan menyifatkan keputusan mengundurkan tentera adalah ‘sesuatu yang paling munasabah untuk dilakukan’.

Dalam wawancara dengan RT, beliau mengulas mengenai tindakan bekas Perdana Menteri Afghanistan, Ashraf Ghani yang melarikan diri dari negara tersebut dan tindakan tentera negara itu menyerah diri seminggu sebelum tentera asing berundur.

“Bagaimana anda boleh bersedia untuk itu?,” tanya beliau.

“Terdapat terlalu banyak kritikan yang tidak adil terhadap Presiden Biden, dan apa yang beliau lakukan adalah perkara paling munasabah untuk dilakukan,” katanya.

Ditanya mengenai hubungan beliau dengan Biden, Imran Khan berkata, kerajaanya telah mengikat hubungan dengan AS.

“Ketua keselamatan kami sentiasa bertukar pandangan mengenai Afghanistan,” tambahnya.

Perdana menteri itu berkata, beliau tidak pasti sama ada AS mempunyai sebarang dasar yang munasabah terhadap apa yang akan mereka lakukan di Afghanistan.

Imran Khan turut meminta AS melaksanakan satu strategi jika krisis kemanusiaan tercetus yang mana ia dikhuatiri akan membantutkan bantuan antarabangsa ke Afghanistan.
“Terdapat situasi yang membabitkan masalah pelarian yang mana Pakistan dan Iran lebih terasa beban ketika mereka perlu mengambil lebih banyak pelarian,” tambahnya.

Perdana Menteri itu menggesa AS memainkan peranan yang lebih besar memandangkan negara itu telah berada di Afghanistan lebih 20 tahun.

Katanya, AS hanya memberi alasan keganasan untuk menceroboh Afghanistan.

“Apa pencapaiannya jika bumi Afghanistan menjadi tapak keganasan lagi. Kita tidak boleh membiarkan Afghanistan hanyut ke arah krisis lagi,” ujarnya. – MalaysiaGazettee country.