KUALA LUMPUR – Polis menafikan satu insiden seorang wanita yang disyaki pembantu rumah warga Indonesia didera majikan selepas sebuah video tular di laman media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pada 19 september 2021, polis telah mengesan video berdurasi satu minit 10 saat yang tular di laman Facebook yang memaparkan seorang wanita dalam keadaan ketakutan dikatakan didera majikannya.

Katanya, video asal tersebut telah dimuat naik oleh pemilik akaun tik tok @long_rangerr seperti di pautan https://vt.tiktok.com/zsjo4ppgg/.

“Kejadian tersebut dikatakan berlaku pada 16 september lalu di Bennington Residences, di Jalan Arena 1, Taman Ayer Panas, pada jam yang tidak dapat dipastikan.

“Melalui penilitian ke atas video yang diperolehi, pihak polis dari ibu pejabat polis Daerah Wangsa Maju dan Balai Polis Setapak telah pergi ke Residence itu untuk mendapatkan maklumat berkenaan kejadian tersebut.

“Berdasarkan maklumat yang diperolehi di tempat kejadian dan keterangan saksi-saksi yang terlibatdapati kejadian berlaku pada 16 september 2021 jam lebih kurang 10 malam yang mana keterangan saksi yang berada di tempat kejadian mendapati tiada sebarang unsur penderaan ke atas mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, mangsa adalah seorang perempuan warganegara Indonesia yang dipercayai mengalami tekanan perasaan kerana hendak balik ke negara asalnya.

“Namun mangsa yang mengalami tekanan itu akhirnya berjaya dipujuk oleh rakannya dan berjaya ditenangkan manakala salah seorang kenalan mangsa juga telah membuat laporan polis menafikan berlakunya kejadian dera ke atas mangsa seperti tular dalam media sosial.

Menurut Ashari, semakan polis mendapati tiada sebarang laporan dibuat oleh mangsa sendiri, individu lain dan juga pihak kedutaan Indonesia.

Sehubungan itu, jelasnya, polis berharap kejadian itu tidak ditularkan kerana berita yang tidak tepat boleh mendatangkan keresahan dan kerisauan kepada masyarakat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menyalurkannya maklumat ke hotline polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999, ibu pejabat polis daerah Wangsa Maju di talian 03-9289 9222 atau mana-mana balai polis berhampiran. -MalaysiaGazette