Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang media selepas ‘Kick Off’ Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di SMK Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 20 SEPTEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan akan memastikan semua petugas tadika dan institusi pendidikan kanak-kanak di bawah 12 tahun menerima vaksin Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan perlu memastikan  persekitaran tadika dan institusi pendidikan berkenaan selamat bagi kanak-kanak memandangkan mereka adalah golongan yang belum divaksinkan.

Oleh itu, prosedur operasi standard (SOP) yang ketat perlu diamalkan sebagai langkah pencegahan penularan wabak Covid-19.

“Setakat hari ini, tidak ada vaksin diluluskan oleh badan berkuasa di Malaysia untuk kanak-kanak di bawah usia 12 tahun. Jadi setelah saya bincang perkara ini dengan Menteri Kanan Pendidikan bagaimana cara untuk kita membuka tadika dan institusi pendidikan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun dengan selamat buat masa ini adalah memastikan  persekitaran sekolah dan institusi itu sudah selamat untuk mereka.

“Dan strateginya adalah memberi vaksin kepada semua petugas yang ada di institusi dan tadika maksudnya, guru-guru, pengendali tadika, yang bekerja di tadika dan institusi pendidikan untuk kanak-kanak semua lengkap divaksin, itu cara terbaik yang kita boleh buat sekarang,” katanya ketika sidang media di Sekolah Menenangah Kebangsaan (SMK) Presint 8(1), hari ini.

Mengulas lanjut, Menteri Kesihatan itu memaklumkan beberapa buah syarikat telah menghantar ujian klinikal kepada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk mendapatkan kelulusan vaksin kanak-kanak di bawah 12 tahun.

Namun katanya, tiada kelulusan diberikan sehingga kini.

“Jadi sehingga kita mendapat kelulusan untuk vaksin kanak-kanak di bawah 12 tahun kita kena pastikan persekitaran mereka selamat,” katanya lagi.

Dilaporkan, kira-kira 70 peratus atau 8,895 daripada 12,545 kakitangan taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara telah lengkap vaksinasi Covid-19.

Sehingga 17 September 2021, direkodkan seramai 1,853 kakitangan taska pula telah menerima satu dos suntikan vaksin.- MalaysiaGazette