Saturday, April 27, 2024
Home Nasional Tangani segera isu gangguan seksual di sekolah, IPT – Maszlee

Tangani segera isu gangguan seksual di sekolah, IPT – Maszlee

Dr. Maszlee Malik.

KUALA LUMPUR –  Kerajaan digesa campur tangan dan  mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah gangguan seksual di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Ahli Parlimen Simpang Renggam (Bebas), Dr Maszlee Malik menegaskan, kes gangguan seksual dalam kalangan murid dan pelajar tidak boleh lagi dipandang ringan.

Bekas Menteri Pendidikan itu turut menyokong agar Rang Undang-Undang Akta Gangguan Seksual dibentangkan dan diluluskan segera.

“Saya dimaklumkan semenjak 2011, Kementerian Pendidikan (KPM) telah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) – Pelaporan dan tindakan menangani displin murid beserta garis panduan menangani gangguan seksual murid.

“Namun, kedua-dua SOP ini tidak lagi sesuai dengan perkembangan semasa sebab itu pada 13 Disember 2019, KPM, telah melakukan satu inisiatif dan meluluskan satu memo untuk kita membuat garis panduan yang baharu selari dengan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Kanak-Kanak 2017.

“Saya juga menyokong RUU Akta Gangguan Seksual segera dibentangkan dan diluluskan. Bersama kita jadikan sekolah sebagai tempat yang selamat untuk semua,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini. – MalaysiaGazette