Roslan Shahir Mohd Shahir.

KUALA LUMPUR – Dakwaan usaha perkasa mahkamah syariah sebagai permulaan kepada sebuah negara Islam dan menjadikan Malaysia negara Taliban bermotif jahat.

Setiausaha Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, sudah pasti pihak yang menuduh  itu mempunyai niat buruk menghasut rakyat dan mereka yang bukan Islam agar menolak sebarang usaha memperkasakan ajaran agama itu termasuk hukum hudud walaupun ia hanya akan dipraktikkan kepada orang muslim sahaja.

“Selepas Lim Guan Eng, kini muncul suara-suara lain yang keras menentang Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU355 dan saya percaya ianya tidak akan berkesudahan.

“Bagi saya, penentangan seperti ini dan dengan jahat mengaitkan pula usaha pemerkasaan institusi Islam dalam negara dengan keganasan adalah satu tindakan yang cukup biadab dan tidak bertanggungjawab.

“Ia sesungguhnya komplot untuk membakar api kebencian sesama rakyat Malaysia,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Roslan lagi, Perdana Menteri sendiri dalam jawapannya kepada Dewan Rakyat telah memaklumkan proses yang sedang dan bakal dilalui RUU355 itu masih peringkat draf dan selepas dimuktamadkan akan dibentangkan kepada negeri-negeri dalam Persidangan Penyelarasan Undang-undang Syarak dan Sivil.

Kata Datuk Seri ismail Sabri Yaakob lagi, sepanjang 2020 dan 2021 kerajaan melalui Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil yang diperkenankan penubuhannya oleh Majlis Raja-raja di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) telah mengadakan beberapa siri mesyuarat membincang dan meneliti RUU355 ini, ujarnya.

Tambah beliau, mahkamah dan undang-undang syariah serta institusi yang berkaitan dengannya di Malaysia adalah hak dan amalan umat Islam sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan dan di bawah lindungan Raja-Raja Melayu.

Ia juga dibawa dan diluluskan bukan sewenang-wenangnya tetapi melalui proses undang-undang, tegasnya.

“Mengaitkan ia dengan Taliban dan menggambarkan sebarang pelaksanaan di bawahnya sebagai ganas adalah penghinaan ke atas rakyat Malaysia yang beragama Islam dan Raja-raja Melayu. Cukup-cukuplah bertindak melampau.

“Keluarga Malaysia menghormati, menjaga dan memelihara hak sesama warga, sentiasa toleran dan bertolak ansur. Tindakan Guan Eng dan mereka yang menjadi tali barutnya ternyata memusuhi konsep Keluarga Malaysia ini,” katanya. – MalaysiaGazette