Mohamed Hanipa Maidin SOSMA Najib Razak Dewan Rakyat Parliament
The Member of Parliament of Sepang, Mohamed Hanipa Maidin

KUALA LUMPUR – Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Pakatan Harapan (PH), Mohamed Hanipa Maidin berkata sekiranya kerajaan pimpinan Perdana Menteri menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong (YDPA), maka satu usul undi percaya terhadap Datuk Seri Ismail Sabri perlu dibuat.

Beliau berkata, perkara itu bukan satu perkara yang luar biasa bagi seseorang Perdana Menteri mengusulkan undi percaya terhadap beliau.

“Saya merasa amat keliru kerana dalam titah Yang di-Pertuan Agong baru-baru tidak dinyatakan perkara ini.

“Bagi saya tidak ada masalahnya untuk kita mengadakan undi percaya ini dan sebagai sebuah kerajaan yang bersungguh-sungguh menyatakan ingin memperakui kedudukan Raja Berpelembagaan ini sepatutnya kita mengambil berat tentang titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika membahaskan Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Sepang itu, Ismail Sabri perlu memainkan peranan dengan menyambut baik titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan memcermikan keabsahan beliau di Dewan Rakyat.

“Undi percaya ini bukan semata-mata untuk kita katakan ini isu Perlembagaan semata-mata.

“Kalau betul kita menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, hendaklah kita melaksanakan titah ini dengan mengadakan usul undi percaya untuk mengesahkan Ismail Sabri mendapat kepercayaan di Dewan Rakyat,” katanya lagi.

Pada 18 Ogos lalu, YDPA menitahkan supaya perdana menteri kesembilan yang dilantik perlu segera mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat bagi mengabsahkan jawatan beliau.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan Datuk Pengelola Bijaya Istana Negara, Datuk Ahmad Fadli Shamsuddin berkata, YDPA akan membuat pelantikan perdana menteri baharu mengikut Perkara 40 (2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan setelah meneliti surat akuan dipersembah oleh ahli-ahli Dewan Rakyat menyatakan siapa dalam kalangan mereka diberi kepercayaan untuk memegang jawatan tersebut.

Beliau berkata, surat akuan itu bertujuan membantu YDPA membuat keputusan melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat seperti yang duperuntukkan di bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Bagaimanapun pada 7 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, YDPA memberi perkenan agar tiada usul undi percaya dikemukakan di Dewan Rakyat bagi menentukan keabsahan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Wan Junaidi berkata, pelantikan Ismail Sabri dibuat mengikut peruntukan undang-undang. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.