Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim (kanan) berbual bersama Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad mendakwa kini Kementerian Wilayah Persekutuan mengamalkan dasar ‘kayakan jiran kamu’.

Beliau yang merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkata, semasa menjawat jawatan itu, dasar tersebut tidak diamalkan dan ia hanya dipraktikkan selepas itu.

“Saya kagum dengan dasar Kementerian Wilayah Persekutuan yang dulu saya jadi menteri, saya tidak tahu ada.

“Dasar ‘kayakan jiran kamu’ sepeti mana kita dengar video di mana jiran mantan Menteri Wilayah telah mendapat tanah sebanyak 2.9 ekar di Jalan Peel, sedangkan syarikatnya hanya paid up capital (modal berbayar) hanya RM100 sahaja.

“Tapi dia ada dasar ‘kayakan jiran kamu’, maka dia beri projek itu kepada jiran dia di Kelantan,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.

“Selain daripada itu, stadium bola sepak Kuala Lumpur dipajakkan kepada seorang lagi jiran dia, yang duduk di Damansara Height, inilah dasar Kementerian Wilayah Persekutuan yang dipimpin mantan menteri, bukan saya,” dakwanya.

Khalid digantikan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa ketika pentadbiran bekas Perdana Menteri Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Annuar kemudiannya digantikan Datuk Seri Shahidan Kassim di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berikutan itu, Khalid mendesak Shahidan menjawab dakwaan itu di Dewan Rakyat.

“Saya tidak tahu dasar ini ada, tapi inilah kelebihan UMNO, saya harap Menteri Wilayah akan jawab tentang isu ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette