Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad ketika temubual eksklusif bersama Malaysia Gazette di Hotel Pullman, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 11 SEPTEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perak tidak menolak kemungkinan untuk memberi pengiktirafan kepada ketua pembangkang di negeri itu.

Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad berkata, jika kerajaan Pusat mengiktiraf Ketua Pembangkang bertaraf menteri, kerajaan negeri juga akan memberi taraf sewajarnya.

“Buku Perintah Tetap kerajaan negeri tidak ada (pengiktirafan) selama ini, pengiktirafan kepada ketua pembangkang kita akan letakkan bawah jawatankuasa.

“Kira recognise (iktiraf) dari segi taraf. (Jika) di Kabinet dia bertaraf menteri, kita akan fikirkan taraf sewajarnya pada peringkat negeri,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan negeri bersedia melakukan perubahan bersama pembangkang di Perak termasuk memberi pengiktirafan kepada ketua pembangkang bertaraf Exco kerajaan negeri.

Jika menjadi realiti, kerajaan Perak mungkin menjadi negeri pertama berbuat demikian.

Saarani mahu rakyat di negara ini melihat pentadbiran kerajaan negeri perlu lebih profesional dan memastikan keadilan diberi peluang.

“Kerajaan tak dapat semua dan pembangkang tak hilang semua,” katanya yang berpendapat wakil rakyat kerajaan dan pembangkang perlu melengkapi sesama sendiri demi kebaikan kepada rakyat yang diwakili.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan yang mewakili UMNO itu banyak mengubah peraturan yang sebelum ini dinafikan kepada pembangkang sejak menerajui kerajaan negeri sejak 10 bulan lalu.

Melalui pentadbirannya, semua pembangkang menerima peruntukan RM200,000 sama seperti wakil rakyat kerajaan termasuk bantuan kecemasan seperti Covid-19 dan bantuan kepada kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Malah wakil rakyat pembangkang juga dilibatkan dalam setiap jawatankuasa di mana mereka boleh menyuarakan pandangan mereka kepada kerajaan negeri.

Bagaimanapun Saarani menafikan kelonggaran diberi itu sebagai caranya ‘menjinakkan’ pembangkang di Perak yang selama ini sering menjadikan Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai tempat ‘membantai’ kerajaan.

“Dia tiada istilah memjinakkan (pembangkang). Saya bersyukur keadaan tenang, terima kasih kepada semua pihak. Sedikit pengalaman yang ada dan ini penggal kelima berkhidmat beberapa MB.

“Sudah tentu karektor MB berbeza beri panduan kepada saya,” katanya.

Pengalaman mengajar kita, katanya, pembangunan negeri bukan sahaja tugas MB dan kerajaan tetapi pembangkang juga ada peranan yang sama.

“Saya ada pengalaman, jadi ADUN biasa sepengal, jadi Exco tiga penggal dan sekarang MB dan saya pernah jadi pembangkang dan Ketua Pembangkang.

“Ia sedikit sebanyak mengajar saya jadikan DUN profesional, ada tanggungjawab pembangkang, ada beberapa perkara kita tak setuju tak bermakna kita tak terima.

“Ada keperluan untuk kolaborasi, we not perfect. Kerajaan tak sempurna, pembangkang pun tak sempurna,” katanya.

Hasrat Saarani mahu mengubah polisi untuk turut memberikan peruntukan yang sama kepada wakil rakyat pembangkang hanya semata-mata untuk rakyat dan mendokong agenda politik baharu di negara ini.

“Contoh masa saya jadi kerajaan, polisi ini apa? Polisi peruntukan ADUN-ADUN hanya diberi kepada ADUN kerajaan bukan pembangkang.

“Kemudian jawatankuasa tindakan daerah. Fokus tak diberi peluang kepada pembangkang. Masa jadi kerajaan, kita ada kuasa, halang pembangkang. Mungkin takut kalau diberi peluang mereka akan popular daripada kita.

And then bila jadi pembangkang, kerajaan baharu hukum benda yang sama. Tak dapat peruntukan, tak jadi. Nak jerit kat mana?

“Dia ikut polisi yang sama, fikir-fikir kenapa buat begini. Yang rugi rakyat. Tak bagi peruntukan tak dapat bagi kepada rakyat,” katanya.

Jika dahulu, katanya, wakil rakyat pembangkang juga tidak dijemput dalam jawatankuasa bencana dan jawatankuasa focus group sehingga menyukarkan mereka berkhidmat untuk rakyat masing-masing.

Selepas memerintah Perak, Saarani melakukan reformasi itu selepas mendapat mandat dari barisan Exco, Barisan Nasional dan gabungan parti pemerintah melibatkan Bersatu dan Pas.

“Saya bentang Bajet 2021, kita beri peruntukan 59 DUN sebanyak RM200,000, bagi peluang ADUN pembangkang hadir jawatankuasa tindakan daerah dan jawatankuasa fokus grup.

“Rasionalnya? Masa jadi pembangkang kita perlu duit dan jika jadi kerajaan tak elok kita balas balik (tak bagi peruntukan),” katanya.

Justeru Saarani beranggapan reformasi polisi kerajaan negeri itu mungkin tidak lagi menyebabkan pembangkang ‘membantai’ kerajaan termasuk kakitangan kerajaan dan kini mereka agak diam kerana sudah ada platform berbuat demikian.

So, kalau kakitangan kerajaan sudah ambilkira pandangan (pembangkang). Laksanakan pandangan dia apa dia nak keriau dalam DUN lagi?” soalnya.

Bagaimanapun ia bukan bermakna pembangkang tidak perform tapi mereka sudah ada platform bersuara berbanding dahulu.

“Jadi, ia bukan menjinakkan (pembangkang) ia berdasarkan pengalaman dan dia (pembangkang) berpuas hati,” katanya.- MalaysiaGazette