Sebuah ambulans swasta terbalik selepas terlibat dalam kemalangan di Kulim, Kedah hari ini.

KULIM – Seorang pemandu dan tiga petugas sebuah ambulans swasta berdepan detik cemas selepas kenderaan dinaiki mereka dilanggar sebuah kereta  di persimpangan lampu isyarat Jalan Lunas-Taman Seluang hari ini.

Dalam kejadian pukul 10.30 pagi itu, keempat-empat individu dalam ambulans terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Sazalee Adam berkata, hasil siasatan awal mendapati ambulans berkenaan dalam perjalanan ke Hospital Kulim dan tiada pesakit di dalam kenderaan itu.

“Ambulans itu bergerak ketika lampu isyarat berwarna merah sebelum dilanggar sebuah kereta jenis Honda Jazz dari bahagian kiri memandangkan lampu isyarat di laluannya berwarna hijau.

Tiada pesakit dalam kenderaan itu.

“Akibat perlanggaran tersebut, ambulans berkenaan terbalik namun tiada sesiapa mengalami kecederaan.

“Pemandu serta penumpang kereta Honda Jazz juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.  – MalaysiaGazette