Ahmad Hamzah

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menempelak dakwaan kononnya berlaku monopoli barangan import sehingga menyebabkan harga makanan menjadi mahal.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, tuduhan yang dilemparkan Ahli Parlimen Tampin, Datuk Dr Hasan Bahrom (PH) pada sesi penggulungan Titah Diraja baru-baru ini tidak benar.

Katanya, tujuan kementeriannya menjalankan kawalan kuota melalui permit import syarikat (AP) adalah bagi memastikan bekalan makanan mencukupi daripada keluaran pertanian terpilih iaitu kelapa biji tua, susu cair, kobis bulat, keratan ayam dan beras.

Pada masa sama, kata beliau, pelaksanaan AP dapat menghalang berlaku lambakan pengeluaran pertanian terpilih di pasaran yang boleh menjejaskan daya saing dan pengeluaran petani tempatan.

“Permohonan kuota import dinilai dari aspek syarikat yang dipohon seperti yang telah ditetapkan. Bagi memastikan bekalan mencukupi dan tidak berlaku lambakan, pertimbangan permohonan juga diberikan kepada anggaran tahunan permintaan serta pengeluaran tempatan.

“Bagi kelapa tua, kobis bulat, susu cair dan keratan ayam, MAFI tidak menetapkan sebarang had pemegang kuota import.

“Bagi kuota import beras, kerajaan masih meneruskan dasar pengimport utama yang diperkenalkan sejak tahun 1974 dengan mengambil kira dasar ini adalah penting dan relevan.

“Ini bagi menjamin kelangsungan beras dalam negara di mana Bernas telah dilantik pengimport utama mewakili kerajaan Malaysia. Sebarang keputusan kerajaan dengan mempertimbangkan semua aspek secara menyeluruh bagi melindungi komoditi beras sebagai makanan ruji rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Titah Diraja kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad memaklumkan, MAFI telah menggubal Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dengan mengambil kira isu sekuriti makanan yang meliputi daya saing dan kemampanan berdasarkan prinsip Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 dan Agenda Mampan 2030 di samping Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dan RMKe-13.

Pada masa sama katanya, Pelan Tindakan Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 turut dirangka bagi memastikan kestabilan sistem makanan negara kekal terjamin merangkumi lima aspek iaitu memperluaskan adaptasi teknologi dalam sistem makanan.

“Ini sebagai langkah prakmatif bagi mempertingkatkan lagi kecekapan produktiviti sistem ini berdasarkan skala ekonomi pertanian mampan.

“Kedua adalah pemerkasaan penyelidikan dan pembangunan berteraskan sekuriti makanan ke arah meningkatkan lagi kapasiti pengeluaran makanan dan input pertanian secara domestik,” tambahnya. – MalaysiaGazette