Husam Musa defamatory suit defamation wins Masri Che Yusoff
HUSAM MUSA

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan Putrajaya hari ini sebulat suara menolak rayuan seorang guru agama terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Bharu bertarikh 26 Jun 2018, yang membenarkan saman fitnah oleh Datuk Husam Musa.

Guru itu, Masri Che Yusoff didakwa memuatnaik satu tulisan dalam akaun Facebooknya pada 27 Oktober 2015 dengan menuduh bekas Naib Presiden Pas itu secara salah memberikan tanah seluas 414.37 hektar kepada sebuah syarikat.

Husam kemudian menafikan tulisan berunsur fitnah yang bertajuk, “Sahaja Aku Faridhkan Tanah 414.37 hektar kepada Akademi Pembangunan Keluarga Bahagia Bhd (APKB)” itu.

Dalam penghakiman ringkas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suraya Othman, Datuk Lee Heng Cheong dan Datuk Indera Mohd Suffian Abd. Razak, memutuskan Husam berjaya membuktikan tulisan Facebook tersebut satu fitnah.

Masri bagaimanapun gagal membuktikan tiga pembelaan yang dibangkitkan itu, iaitu justifikasi, ulasan saksama dan perlindungan bersyarat.

Oleh demikian, keputusan yang dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Datuk Ahmad Bache pada 26 Jun 2018 dikekalkan.

Masri ketika memuatnaik tulisan berunsur fitnah itu memegang jawatan Ahli Jawatankuasa Pas Kawasan Ketereh dan anggota Dewan Ulamak Pas Kelantan, selain mengajar di sebuah sekolah agama di negeri itu.

Jumlah ganti rugi yang perlu dibayar Masri kepada Husam mengikut ditaksirkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 10 Februari lalu ialah sebanyak RM150,000 dan jumlah itu kekal kerana tiada rayuan difailkan.

Beliau juga perlu membayar kos rayuan hari ini sebanyak RM15,000, manakala kos sebelum ini yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu ialah RM10,000 dan RM5,000.

Husam diwakili peguam Faiz Fadzil dan dibantu Faizal Abdullah, manakala Masri diwakili peguam Yusfarizal Yussoff dan dibantu Mohd Faizi Che Abu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.